Friday, May 17, 2024
27.7 C
Brunei

    -

    Impian tingkat ekonomi keluarga tercapai, suri rumah kini tauke bakeri

    GUA MUSANG – “Bukan senang nak jadi senang, bukan susah nak jadi susah,” itulah antara kata-kata motivasi yang sering menjadi pegangan ibu kepada enam cahaya mata, Nor Azlina Zakaria, 55, untuk terus berusaha mengembangkan perniagaan berasaskan pastri yang diceburinya.

    Menurut Nor Azlina, beliau tidak menyangka berkat kesabarannya selama enam tahun mempelajari ilmu pastri telah membuahkan hasil apabila mampu memiliki bakeri sendiri dan menghasilkan 21 jenis pastri seperti roti siput, roti kacang merah, roti sosej dan roti manis sehingga pendapatan mencecah sebanyak RM4,000 sebulan.

    “Saya tidak menyangka perniagaan pastri ini semakin mendapat sambutan dalam kalangan penduduk di sini kerana pada awalnya saya hanya mahu membantu suami, Abdul Aziz Ahmad, 62, yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat balak untuk menampung perbelanjaan harian keluarga.

    “Idea ini tercetus apabila anak sulung saya berjaya melanjutkan pelajarannya ke universiti pada tahun 2017 dan ketika itu saya terus berfikir untuk tidak berada dalam zon selesa kerana jika tidak lakukan sesuatu kami sekeluarga akan menanggung kesusahan nanti,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya dekat Kampung Kolam Mas, di sini baru-baru ini.

    Bercerita lanjut, Nor Azlina berkata walaupun pernah menyertai kursus di bawah Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) selama enam bulan, beliau tetap melalui beberapa episod kegagalan apabila terpaksa membuang berkilo-kilo doh roti yang tidak menjadi sehingga menyebabkan pembaziran dan mengalami kerugian.

    “Ketika pengalaman ini, saya hanya membuat jualan secara kecil-kecilan dari rumah kerana modal tidak terlalu banyak dan berasa sangat sedih apabila melihat tepung yang diuli terpaksa dibuang begitu sahaja.

    “Alhamdulillah, berkat usaha saya selama ini, akhirnya berjaya memiliki sebuah kedai bakeri sendiri yang dibina bersebelahan dengan rumah empat tahun lalu,” katanya yang turut menerima tempahan kek dan biskut raya.

    Beliau berkata untuk memastikan dirinya terus kekal relevan, beliau akan sentiasa mengikuti trend semasa dalam penghasilan produk pastri dan terus menyertai kursus yang berkaitan untuk menambah ilmu pengetahuan. – Bernama

    Azlina sibuk bekerja di bakeri miliknya di Kampung Kolam Mas, Gua Musang, Kelantan. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua sekolah dibina semula dengan bantuan China

    KATHMANDU, 16 MEI - Dua sekolah awam yang dibina semula dengan bantuan orang Cina di daerah Dolakha Nepal telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan,...