Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iraq tangguh sidang kestabilan serantau

    BAGHDAD, 2 NOV – Sidang kemuncak antarabangsa di Baghdad mengenai ‘kestabilan serantau’ yang dirancang pada akhir November telah ditangguhkan berikutan perang Israel-Hamas yang berterusan, beritahu seorang pegawai Iraq kepada AFP hari ini.

    Edisi ketiga persidangan Baghdad ‘untuk integrasi ekonomi dan kestabilan serantau’, yang dianjurkan bersama oleh Perancis, ‘ditunda sehingga diberitahu kelak disebabkan peristiwa serantau’ di Timur Tengah, kata Farhad Alaaldin, penasihat kepada Perdana Menteri Iraq, Mohamed Syiah al-Sudani.

    Alaaldin mengatakan ‘sidang ditunda disebabkan apa yang berlaku di Palestin’, merujuk kepada perang yang meletus selepas serangan 7 Oktober apabila pejuang Palestin membunuh lebih daripada 1,400 orang, kata pegawai Israel.

    Tentera Israel sejak itu melancarkan pengeboman sengit ke atas Semenanjung Gaza yang terkepung dan menghantar tentera darat, membunuh hampir 8,800 orang, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas.

    Mengesahkan laporan oleh akhbar harian Perancis Le Figaro, Alaaldin berkata sidang kemuncak Baghdad, yang sepatutnya dihadiri oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron, telah ditunda “untuk memberi tumpuan kepada usaha Iraq mencapai gencatan senjata dan membantu rakyat Palestin dan nasib mereka”.

    Beliau tidak menyatakan siapa di sebalik penangguhan itu atau bila sidang kemuncak itu akan diadakan semula.

    Perhimpunan itu, yang menyusuli satu di Baghdad pada 2021 dan satu lagi di Jordan akhir tahun lalu, diumumkan oleh kerajaan Iraq dan Perancis pada Ogos dengan tujuan untuk mewujudkan ‘agenda serantau untuk menyokong kedaulatan Iraq’ selepas pergolakan selama bertahun-tahun. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda