Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel serang Rafah, 22 terkorban

    RAFAH, SEMENANJUNG GAZA, 21 APRIL – Serangan Israel ke atas bandar Rafah di selatan Gaza semalam mengorbankan 22 orang, termasuk 18 kanak-kanak, kata pegawai kesihatan hari ini, ketika Amerika Syarikat (AS) bersedia meluluskan berbilion dolar bantuan ketenteraan tambahan untuk sekutu rapatnya.

    Israel telah melakukan serangan udara hampir setiap hari ke atas Rafah, di mana lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah mencari perlindungan daripada peperangan di tempat lain.

    Ia juga berikrar untuk meluaskan serangan daratnya ke bandar di sempadan dengan Mesir walaupun gesaan antarabangsa untuk menahan diri, termasuk dari AS.

    Dewan Perwakilan Rakyat meluluskan pakej bantuan bernilai AS$26 bilion semalam yang merangkumi kira-kira AS$9 bilion bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

    Serangan pertama membunuh seorang lelaki, isterinya dan anak mereka yang berusia tiga tahun, menurut Hospital Kuwait berdekatan, yang menerima mayat berkenaan.

    Seorang remaja Palestin meratapi saudaranya yang terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza, di rumah mayat di Hospital Kuwait di kem pelarian Rafah pada 20 April. – AP

    Wanita itu hamil dan doktor berjaya menyelamatkan anak damit itu, menurut hospital.

    Serangan kedua membunuh 17 orang kanak-kanak dan dua wanita, semuanya daripada keluarga besar yang sama, menurut rekod hospital.

    Responden pertama masih mencari mangsa di bawah runtuhan. Serangan udara di Rafah malam sebelumnya mengorbankan sembilan orang, termasuk enam kanak-kanak.

    Perang Israel-Hamas telah mengorbankan lebih 34,000 rakyat Palestin, menurut pegawai kesihatan tempatan, memusnahkan dua bandar terbesar di Gaza dan meninggalkan banyak kemusnahan di seluruh wilayah itu.

    Kira-kira 80 peratus daripada penduduk telah melarikan diri dari rumah mereka ke kawasan lain di pantai yang terkepung itu, yang menurut pakar berada di ambang kebuluran. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda