Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Isu Palestin: Dunia harus bangkit’

    KUALA LUMPUR, 22 OKT – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dunia perlu bangkit dan menghentikan sikap hipokrit yang sangat jelas mengenai situasi yang sedang berlaku di Gaza.

    Anwar berkata terdapat terlalu banyak percanggahan, penipuan dan kepura-puraan dalam arena politik antarabangsa, dan perbuatan ini mesti dihentikan.

    “Malah, saya berani mengatakan bahawa pelajar cemerlang dalam sejarah dan geopolitik tidak semestinya terkejut. Anda bercakap tentang hak asasi manusia dan pada masa sama anda menafikan hak orang lain, saya merujuk contohnya anda mengutuk Rusia atas pencerobohan kerana keputusan Rusia untuk mengambil enklaf Rusia di Ukraine, adil.

    “Tindakan itu dikutuk tetapi, isu pencerobohan Israel dan mengambil alih tanah rakyat Palestin, ia dibenarkan, dan bukan itu sahaja, malah perbuatan itu terus disokong dan dipertahankan,” katanya dalam temu bual dengan Arab News pada Jumaat, di luar Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Keselamatan Teluk (GCC) di Riyadh.

    Menyifatkan situasi yang berlaku di Gaza ketika ini sebagai suatu ‘kegilaan’, Anwar berkata Malaysia tetap dengan pendirian bahawa pencerobohan dan penindasan serta layanan buruk terhadap wanita dan kanak-kanak di Gaza sehingga menyebabkan mereka menderita, harus dihentikan.

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama barisan delegasi Arab Saudi semasa mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mahkota Mohammed bin Salman di Istana Al Yamamah pada 21 Oktober. – Bernama

    “Saya tidak faham mengapa orang Israel tidak faham apa itu episod Holokus pada masa lalu dan kini ia dikenakan ke atas orang lain,” katanya.

    Mengulas ucapan perasmian Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed Bin Salman pada sidang kemuncak itu, Anwar berkata Malaysia menyokong penuh usaha Arab Saudi dan GCC untuk menamatkan krisis dan mencegah tercetusnya perang yang lebih serius.

    “Tanpa dirancang, saya merupakan responden terawal dan secara serta-merta, saya terus mengucapkan terima kasih kepada beliau dan mengatakan bahawa kita bersama awda dan GCC, kerana apa yang awda katakan apabila awda memimpin, ia akan memberi impak yang kuat berbanding negara ASEAN yang jaraknya agak jauh.

    “Tidak terlampau untuk mengatakan bahawa ucapan perasmian Putera Mahkota itu amat menyentuh hati saya, mereka bersemangat dan sudah tiba masanya seorang pemimpin dalam dunia Arab mengambil pendirian teguh atas dasar kemanusiaan,” katanya.

    Anwar berkata Putera Mahkota telah memainkan peranan utama di rantau ini termasuk menganjurkan dan menyelaras GCC serta Sidang Kemuncak Riyadh ASEAN. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda