Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jabatan percukaian India serbu pejabat BBC

    NEW DELHI, 14 FEB – Pegawai jabatan cukai pendapatan India menyerbu pejabat penyiar Britain Broadcasting Corporation (BBC) di New Delhi dan Mumbai pada Selasa, menurut beberapa laporan media.

    Menurut beberapa laporan yang memetik sumber berkata pegawai percukaian berkenaan membuat ‘tinjauan’ berhubung dakwaan mengenai percukaian antarabangsa serta penyelewengan harga pemindahan yang melibatkan BBC, lapor Xinhua.

    “Dokumen dirampas dan telefon serta komputer riba wartawan turut diambil.

    “Pejabat badan penyiaran itu akan ditutup sepanjang tempoh siasatan dan pekerja telah diminta untuk tidak berkongsi maklumat dengan orang lain,” menurut saluran berita televisyen tempatan NDTV.

    Laporan NDTV memetik pegawai percukaian berkata kedatangan pegawai itu sekadar tinjauan dan bukan penggeledahan, telefon yang diambil akan dipulangkan.

    Pengawal keselamatan mengawal pejabat BBC di Mumbai, India.- AP

    “Kami perlukan penjelasan dan untuk itu pasukan kami pergi ke pejabat BBC. Pegawai kami menyemak buku akaun,” menurut NDTV.

    Laporan sebuah lagi media tempatan memetik seorang pegawai berkata mereka sedang meneliti dokumen berkaitan operasi perniagaan syarikat itu di India.

    Serbuan itu dibuat beberapa minggu selepas BBC menyiarkan siri dokumentari mengenai Perdana Menteri India Narendra Modi yang menyentuh peranan Modi dalam rusuhan Gujerat 2002. Modi merupakan ketua menteri Gujerat ketika itu.

    India menyekat filem dokumentari itu sejurus selepas tayangannya bulan lalu di bawah undang-undang maklumat dan teknologi dan mengarahkan syarikat media itu menarik balik siri itu.

    Minggu lepas, mahkamah tertinggi India menolak permintaan untuk pengharaman sepenuhnya terhadap BBC di India berhubung dokumentari itu dengan menyebut petisyen itu “sama sekali salah tanggap”. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda