Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Janji syurga pada hamba yang taat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Allah menjanjikan ganjaran berupa syurga kepada orang mukmin yang mentaati perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, manakala bagi hambaNya yang kufur dan ingkar pula akan menerima balasan berupa azab yang paling pedih dan menakutkan iaitu neraka.

    Khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat, hari ini, yang bertajuk ‘Menyelamatkan diri dari Api Neraka’ seterusnya menambah, sebagai orang Islam wajib percaya dengan adanya hari akhirat dan wajib beriman kepada semua perkara Samiyat seperti syurga dan neraka kerana syurga dan neraka adalah tempat yang kekal abadi.

    “Allah mencipta neraka sebagai tempat pembalasan atas perbuatan derhaka, dosa dan maksiat yang dilakukan seseorang ketika hayatnya di dunia,” tegasnya.

    Menurutnya lagi, “Neraka itu dipenuhi dengan api yang sangat panas dan dahsyat, malah bahang api neraka itu lebih panas daripada api di dunia.”

    Sekiranya setitis api neraka itu jatuh ke dunia akan hancur leburlah dunia ini, namun ada kalanya neraka itu menjadi sejuk, malah suhunya lebih sejuk daripada apa yang pernah dirasakan di dunia sehingga menyebabkan berguguran daging dari tubuh manusia akibat daripada rasa sejuk yang keterlaluan.

    Setiap orang akan melintasi neraka, walau bagaimanapun hanya orang-orang yang bertakwa kepada Allah saja yang akan terselamat daripada terjerumus ke dalamnya.

    Perlu diketahui, jelasnya, antara sifat atau perbuatan orang yang bertakwa yang dapat menyelamatkan dan melindungi diri mereka daripada terjerumus ke dalam neraka jahanam ialah dengan beriman kepada Allah, cinta kepada Allah, takut kepada Allah, melaksanakan puasa, bersedekah, jihad di jalan Allah dan berdoa memohon pelindungan Allah dari api neraka.

    Khatib seterusnya menyeru untuk sama-sama menyelamatkan diri dan keluarga daripada azab api neraka dengan menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang mungkar dan maksiat serta meningkatkan keimanan dan ketakwaan dalam mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya.

    Dengan demikian, jelas khatib, kita akan tergolong dalam kalangan orang yang akan menerima balasan syurga dengan rahmat Allah SWT dan dijauhkan daripada azab neraka.

    Gambar fail Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda