Kebakaran hutan yang semakin merebak di Los Angeles (LA) membuatkan pelakon Jasmine Suraya terpaksa meninggalkan kawasan kediamannya.
Bimbang risiko bencana yang semakin meruncing, Jasmine atau Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 36, mengambil keputusan untuk mencari tempat perlindungan sementara.
Berkongsi perkembangan terkini, Jasmine memberitahu kebanyakan penduduk sudah melakukan tindakan berpindah keluar ke lokasi yang lebih selamat.
“Kami memandu selama tiga setengah jam keesokan harinya untuk mencari tempat berteduh sementara.
“Kami berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dan memutuskan untuk pergi ke kawasan berdekatan tasik. Kereta semua sudah penuh dengan barang.
“Seperti kami, orang lain turut berpindah keluar dari LA ke tempat yang lebih selamat,” katanya menerusi satu hantaran di InstaStory kelmarin.
Dalam masa sama, Jasmine bersyukur kerana berjaya mendapatkan tempat perlindungan yang lebih selamat meskipun terpaksa mengharungi cabaran besar.
“Gembira dan selamat sekarang. Terima kasih kepada hotel berkenaan kerana memberikan diskaun kepada mangsa pemindahan seperti kami. Kami sayang awak. Setelah alami beberapa hari yang sukar, kami berjaya melaluinya,” ujarnya.
Sekadar info, kejadian kebakaran hutan yang berlaku di Los Angeles sejak Selasa lalu telah menyebabkan ratusan kediaman musnah. Malah sekitar 200,000 penduduk diarahkan berpindah demi mengelakkan lebih ramai terkorban. – Agensi