Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    JBS kendali Program Kecergasan Sesi Kedua

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Seramai 75 orang atlet kebangsaan dan pelapis di bawah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) menyertai Program Kecergasan Sesi 2 yang berlangsung pada pagi tadi bertempat di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas yang disertai oleh atlet sukan pencak silat, karate, taekwondo, olahraga, wusyu, lawan pedang, golf dan bola jaring.

    Sesi kedua yang dikendalikan oleh jurulatih olahraga, Younes Ammouta tersebut dihasratkan untuk mempersiapkan atlet kebangsaan dan pelapis kebangsaan agar sentiasa bersedia dari segi fizikal dalam mengikuti sebarang kejohanan yang akan datang supaya mereka mempunyai lebihan tenaga untuk tujuan kecemasan semasa dalam pertandingan.

    Ia merupakan ke-sinambungan daripada program yang dijalankan pada minggu lepas yang dianjurkan oleh JBS, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, melalui Unit Kejurulatihan dan Pembangunan Sukan, Bahagian Sukan.

    Program kecergasan ini dikendalikan oleh jurulatih kebangsaan di bawah JBS dengan pengisian-pengisian aktiviti kecergasan, di mana setiap sesi kecergasan akan dikendalikan oleh jurulatih kebangsaan secara bergilir-gilir sebagai pengajar bagi program kecergasan tersebut.

    Menurut Ammouta, program pada hari ini di bawah kendaliannya lebih tertumpu kepada strength conditioning bagi memberi gambaran kepada para atlet daripada acara sukan lainnya kepada latihan yang lazimnya dijalankan oleh atlet olahraga.

    Walau bagaimanapun, jelasnya, program pada hari ini tidak terlalu menekankan kepada latihan yang begitu keras kerana tujuan program diadakan adalah bagi mengeratkan hubungan sesama atlet daripada pelbagai acara sukan di negara ini dan dengan cara itu mereka dapat lebih mengenali dengan lebih baik antara satu sama yang lain.

    Diharapkan dengan adanya ikatan yang erat sesama atlet di negara ini, mereka akan dapat memberi sokongan kepada rakan atlet yang lain semasa beraksi di temasya sukan di luar negara nanti, tambah Ammouta.

    Para perserta bergambar ramai semasa acara tersebut.
    ATAS & BAWAH: Antara atlet yang menyertai program berkenaan

    Younes Ammouta semasa ditemui pihak media.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda