Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun beli 400 peluru berpandu AS

    TOKYO, 18 JAN – Jepun hari ini telah menandatangani perjanjian dengan sekutunya, Amerika Syarikat untuk membeli 400 peluru berpandu Tomahawk jarak jauh ketika ia meningkatkan kapasiti ketenteraannya untuk menentang ancaman keselamatan serantau.

    Berdepan dengan pengaruh tentera China yang semakin meningkat dan Korea Utara yang bersenjata nuklear, kerajaan Jepun merancang untuk menggandakan perbelanjaan pertahanannya kepada standard NATO iaitu dua peratus daripada KDNK menjelang 2027.

    Penjualan sehingga AS$2.35 bilion untuk dua jenis Tomahawk, yang mempunyai jarak 1,600 kilometer, telah diluluskan oleh Washington pada November.

    “Pemeteraian ini memulakan perolehan peluru berpandu Tomahawk,” kata seorang pegawai pertahanan kepada pemberita hari ini selepas perjanjian itu ditandatangani di Tokyo.

    “Melalui pelaksanaan bajet (pertahanan) yang baik, kami akan memperkukuhkan kapasiti pertahanan kami secara meluas,” katanya.

    Jepun telah meluluskan rekod belanjawan pertahanan bernilai AS$56 bilion untuk tahun fiskal akan datang bermula April.

    Jepun mempunyai perlembagaan perdamaian selepas perang, yang mengehadkan tenteranya kepada langkah-langkah pertahanan yang sepatutnya.

    Namun, apabila ia mengemas kini dasar keselamatan dan pertahanan utama tahun lepas, Tokyo dengan jelas menggariskan cabaran yang ditimbulkan oleh China. – AFP

    Menteri Pertahanan Jepun, Minoru Kihara (tiga kanan), ketika menandatangani dokumen perjanjian pembelian Tomahawk di Kementerian Pertahanan Jepun, Tokyo. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda