Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun intai gelaran Piala Sultan Azlan Shah 2024

    KUALA LUMPUR, 1 MEI – Skuad hoki lelaki Jepun sedia menggalas cabaran untuk bergelar juara buat kali pertama pada kemunculan keenam di kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 bermula Sabtu ini di Stadium Azlan Shah, Ipoh, Perak.

    Pengurus pasukan Jepun, Takayasu Mizawa mengakui meskipun ia bukan sesuatu yang mudah namun tidak mustahil untuk anak buahnya merealisasikan misi tersebut.

    Beliau berkata pasukannya telah lama membuat persediaan sejak Sukan Olimpik Paris Tokyo 2020 yang menyaksikan Jepun menamatkan saingan dikedudukan ke-11 di temasya sukan terbesar dunia tersebut.

    “Ini adalah pasukan baharu yang dibentuk dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman. Lebih kurang 12 pemain yang beraksi di kelayakan Olimpik Valencia berada dalam pasukan dan lima lagi (pemain berusia 18 hingga 20 tahun) akan membuat penampilan kali pertama bersama skuad senior.

    “Sasaran kami menjadi nombor satu di kejohanan ini tetapi saya sedar tidak mudah untuk mencapainya,” katanya menerusi kenyataan penganjur PSAS hari ini.

    Selain Jepun di ranking ke-16 dunia, kejohanan seminggu itu turut disertai tuan rumah Malaysia, Pakistan, Kanada, New Zealand dan Korea Selatan.

    Pencapaian terbaik Jepun adalah tempat keempat pada edisi lepas pada 2022 selepas tewas 3-5 kepada Pakistan pada penentuan tempat ketiga manakala Malaysia menamatkan kemarau kejuaraan PSAS selama 39 tahun setelah menewaskan Korea Selatan 3-2 pada aksi final. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda