Tuesday, February 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jika semua tawanan tidak dibebaskan, batalkan gencatan senjata’

    WASHINGTON, 11 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mencadangkan gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza dibatalkan sekiranya semua tawanan gagal dibebaskan menjelang Sabtu ini, lapor Anadolu.  

    “Bagi saya, jika semua tawanan tidak dibebaskan sebelum Sabtu 12 tengah hari—saya rasa itu masa yang sesuai—saya akan katakan, batalkan saja (gencatan senjata) dan biarkan keadaan menjadi huru-hara.

    “Saya fikir mereka (tawanan) sepatutnya dibebaskan sebelum 12 tengah hari Sabtu ini. Jika mereka tidak dikembalikan—semuanya, bukan secara berperingkat, bukan dua orang hari ini, satu orang esok—tetapi semuanya sebelum Sabtu 12 tengah hari, maka selepas itu, saya katakan keadaan akan menjadi sangat buruk,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval kelmarin.  

    Trump turut memberi amaran bahawa selepas tarikh itu, situasi akan berubah sepenuhnya. 

    Apabila ditanya sama ada kenyataannya itu merujuk kepada tindakan balas dari Israel, beliau menjawab: “Anda akan tahu, dan mereka (Hamas) juga akan tahu apa maksud saya.”  

    Ketika ditanya sama ada AS akan turut campur tangan selepas tarikh itu, Trump berkata: “Kita akan lihat apa yang berlaku.”  

    Beliau juga mempertimbangkan untuk menghentikan bantuan kepada Jordan dan Mesir sekiranya kedua-dua negara enggan menerima pelarian Palestin dari Gaza.  

    “Ya, mungkin. Kenapa tidak? Jika mereka tidak menerimanya, saya boleh hentikan bantuan,” katanya.  

    Trump dijangka bertemu Raja Jordan, Raja Abdullah II di Washington, DC pada Selasa dalam suasana ketegangan serantau yang semakin memuncak.

    Cadangan Trump untuk memindahkan penduduk Gaza ke Jordan dan Mesir mendapat tentangan hebat.  

    “Mereka (rakyat Palestin) ingin keluar dari Gaza jika ada tempat yang boleh mereka tuju. Saya telah bercakap dengan beberapa pemimpin negara di sekitar Gaza, dan saya rasa mereka bersedia menyediakan tanah. Apa yang kita perlukan adalah tanah dan tempat yang selamat untuk mereka tinggal,” katanya.  

    Menurut Trump, rakyat Palestin akan berpindah jika disediakan kawasan yang lebih baik.  

    “Keadaan di Gaza sekarang seperti neraka,” katanya.  

    Mengenai Tebing Barat yang diduduki Israel, Trump berkata beliau tidak mempunyai sebarang rancangan.  

    “Mereka berada di sana sekarang dan saya fikir mereka mahu kekal di sana. Keadaannya berbeza berbanding Gaza,” katanya.  

    Sementara itu, Hamas menegaskan kelmarin bahawa pihaknya memenuhi semua syarat dalam perjanjian gencatan senjata tetapi menuduh Israel melanggar empat peruntukan utama.

    Sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam, sebelum itu mengumumkan bahawa pembebasan tawanan seterusnya ditangguhkan sehingga Israel mematuhi semua syarat perjanjian.  

    Perjanjian gencatan senjata tiga fasa yang berkuat kuasa sejak 19 Januari itu bertujuan menghentikan perang Israel di Gaza, yang mengorbankan lebih 48,000 nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar di wilayah berkenaan.  

    Fasa pertama gencatan senjata yang dijadual berakhir awal Mac ini membabitkan pembebasan 33 tawanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin.  Pertukaran Israel-Hamas keenam dijadualkan minggu ini. – Bernama/Anadolu 

    Donald Trump bercakap dengan pemberita di Pejabat Oval di Rumah Putih kelmarin. Trump cadang batal gencatan senjata sekiranya semua tahanan tidak dibebaskan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda