Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jordan gagal bangkit

    LUSAIL, 11 FEB – Ketua jurulatih Jordan, Hussein Ammouta berkata dua penalti yang diberikan kepada Qatar pada separuh masa kedua mematahkan semangat pasukannya dalam misi mencipta sejarah memenangi Piala Asia 2023 di sini, malam ini.

    Pada aksi di Stadium Lusail itu, Qatar mempertahankan kejuaraan selepas menang 3-1 dengan tiga jaringan skuad The Maroons hadir menerusi penalti yang disempurnakan penyerang sensasi, Akram Afif, sementara Yazan Al-Naimat menjaringkan gol sagu hati Jordan.

    Ammouta berkata Jordan bergelut pada separuh masa pertama yang menyaksikan mereka ketinggalan 0-1 tetapi menunjukkan semangat untuk menyaingi kehebatan dan permainan dinamik Qatar di babak kedua sehingga berjaya menyamakan kedudukan.

    Namun, penalti kedua dan ketiga yang diberikan pengadil Ma Ning dari China selepas itu menghalang The Chivalrous daripada bangkit untuk cuba memenangi perlawanan.

    “Malangnya perlawanan ini tidak berpihak kami, secara keseluruhan di separuh masa pertama kami kehilangan fokus dan juga peluang menjaringkan gol tetapi separuh masa kedua lebih baik, kami menjaringkan gol penyamaan.

    “Tetapi penalti kedua datang dalam keadaan kami sedang sedaya upaya memburu gol kedua dan (kemudian) penalti ketiga, ia menghalang terus kami untuk bangkit, tetapi ia adalah bola sepak,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.

    Pengendali dari Maghribi berusia 54 tahun itu tidak memberikan jawapan tepat mengenai sama ada kedua-dua penalti itu berpunca kesilapan pengadil ataupun berhak diberikan, namun menyifatkan ia sangat kejam kepada Jordan.

    Pada aksi kelmarin, Qatar mendahului menerusi penalti Afif pada minit ke-22, namun Al-Naimat menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-67 sebelum Afif menyudahkan dua penalti masing-masing pada minit ke-73 dan ke-95 untuk mengesahkan kemenangan pasukan. – Bernama

    Aksi pemain Jordan, Salem Al Ajalin (kanan) dan pemain Qatar, Yusuf Abdurisag bersaing semasa perlawanan akhir Piala Asia di Stadium Lusail di Lusail, Qatar pada 10 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda