Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPJ tahan 19 ‘ulat’ di KLIA, KLIA2

    SEPANG, 13 DIS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan 19 ‘ulat’ yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen dan beroperasi secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

    Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata mereka ditahan dalam Operasi Ulat (Ops Ulat) bermula 4 Disember lepas hingga semalam dengan 18 daripadanya ditahan di klia2 manakala seorang di KLIA.

    Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 15 individu didapati menggunakan kenderaan persendirian untuk kegiatan itu manakala empat yang lain menggunakan kenderaan awam termasuk kereta e-hailing atau teksi.

    “Tiga individu yang ditahan didapati mempunyai rekod kesalahan berulang dan kita (JPJ) turut menyita 19 kenderaan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di KLIA di sini, hari ini.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati ‘ulat’ berkenaan bergerak secara berkumpulan atau solo tetapi dipercayai saling berkerjasama antara satu sama lain.

    Zailani berkata kesemua individu berusia antara 20an hingga 60an itu disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Menurut Zailani beliau sendiri pernah didekati ‘ulat’ berkenaan di lapangan terbang yang menawarkan khidmat kereta sewa dan menyifatkan kegiatan itu harus dibendung bagi menjamin keselamatan serta hak pengguna.

    Beliau berkata JPJ komited untuk terus memberikan advokasi kepada pengguna berkaitan kegiatan ‘ulat’ menerusi video hebahan yang telah disediakan dengan kerjasama pengendali lapangan terbang.

    Katanya sejak 2015 hingga semalam sebanyak 630 kes ‘ulat’ direkodkan di Selangor dan daripada jumlah itu, 29 individu telah dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan tersebut sepanjang tempoh itu. – Bernama

    Datuk Zailani Hashim melihat kenderaan yang ditahan oleh JPJ pada sidang media mengenai Operasi Ulat (Ops Ulat) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda