Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    JS FT menang Pesta Bola Sepak BSRC

    Oleh Daniel Lim –
     
    BELAIT, 22 NOV – Pasukan JS FT berjaya mengetepikan ISC FC dalam penentuan sepakan penalti dengan keputusan 2-1, setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 semasa perlawanan sebenar, pada perlawanan akhir Pesta Bola Sepak 9 Sebelah di padang bola sepak Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC), Belait pada 19 November lalu.
     
    Festival berkenaan merupakan anjuran BSRC bersama Kafe dan Restoran Serikandi, yang menyaksikan sebanyak 14 pasukan berentap antaranya pasukan JS FT, Wasan FC, Ar Rawda, 1RGR Tuker Line, Anchorage FC, X26 FT, dan Brunei Methanol dalam Kumpulan A. Manakala pasukan ISC FC, Serikandi FC, Brummies FC, KB Warriors Veteran, Bang Garap FT, BSRC FC, dan TGOC FT dalam Kumpulan B.
     
    Sepanjang festival berlangsung, setiap pasukan bersaing antara satu sama lain dalam format pusingan robin dalam kumpulan masing-masing, dengan dua pasukan teratas mara ke separuh akhir pertandingan.
     
    Dalam perlawanan tersebut, JS FT berjaya mendahului Serikandi FC dengan keputusan 3-0, manakala ISC FC juga berjaya mengesahkan tempat mereka dalam perlawanan akhir dengan keputusan 2-0 menentang Wasan FC.
     
    Perlawanan di tempat ketiga hampir berkesudahan dengan keputusan seri di mana Wasan FC berjaya menerjah bola masuk ke dalam gawang pasukan Serikandi FC sekali gus mengakhiri perlawanan dengan keputusan 1-0.
     
    Dalam perlawanan utama yang paling dinantikan sepanjang festival tersebut, JS FT berdepan dengan ISC FC, di mana kedua-dua pasukan terikat seri, memaksa perlawanan diteruskan ke penentuan sepakan penalti.
     
    Sementara Muhd Amirul Hamrey dari ISC FC menyumbat gol pertama untuk pasukannya, Muhd Nazry Aiman dan Shahrazen Said dari JS FT pula masing-masing menjaringkan gol  untuk pasukannya yang mengakhiri perlawanan dengan keputusan 2-1.
     
    Hadir bagi menyaksikan pasukan-pasukan bertanding dalam festival itu serta menyempurnakan penyampaian hadiah dan trofi kepada para pemenang ialah ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam, Awang Morni bin Haji Zakaria; Pengerusi dan Pengarah Urusan Serikandi, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad; dan Pengurus Besar BSRC, Dayang Yasmin binti Yusof.
     
    Antara aksi para pemain pada perlawanan tersebut di padang bola sepak BSRC, Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda