Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah eksport, import negara Q4 menurun

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Indeks nilai unit eksport Negara Brunei Darussalam mencatatkan penurunan sebanyak 16 peratus pada suku keempat (Q4) 2023 berbanding tahun sebelumnya, menyebabkan penurunan jumlah nilai eksport daripada $4,537.1 juta kepada $4,457.4 juta.

    Penurunan tersebut terutamanya disumbangkan oleh indeks barang-barang keluaran kilang iaitu 28.4 peratus, bahan api galian (16.5 peratus) dan bahan-bahan mentah tidak boleh dimakan (8.5 peratus).

    Sementara itu, indeks volum eksport meningkat sebanyak 11.3 peratus pada Q4 2023 yang disumbangkan oleh peningkatan pada indeks bahan api galian iaitu 12.2 peratus dan bahan kimia (0.3 peratus).

    Perangkaan itu dikongsi oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, bagi Indeks Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTI) Suku Keempat 2023 dan Tahunan 2023, Negara Brunei Darussalam.

    Seterusnya, indeks nilai unit import juga mencatatkan penurunan sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, menyebabkan penurunan jumlah nilai import daripada $3,237.2 juta kepada $2,972.7 juta di mana penurunan itu disumbangkan oleh bahan api galian iaitu 10.3 peratus, bahan kimia (9.9 peratus) dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (8.2 peratus).

    Gambar Freepik

    Indeks volum import pada Q4 2023 meningkat sebanyak 4.1 peratus disebabkan oleh peningkatan indeks jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 13.3 peratus, barang-barang keluaran kilang (13.2 peratus) dan bahan kimia (11.8 peratus).

    Terma perdagangan mencatatkan penurunan sebanyak 11.1 peratus pada Q4 2023, disumbangkan oleh barang-barang keluaran kilang iaitu 24.7 peratus, bahan api galian (6.8 peratus) dan minuman (6.8 peratus).

    Bagi 2023, jumlah nilai eksport menurun disebabkan oleh penurunan bagi kedua-dua indeks nilai unit eksport iaitu 22.1 peratus dan indeks volum eksport iaitu 2.8 peratus.

    Penurunan pada volum eksport disumbangkan oleh makanan, barang-barang keluaran kilang dan bahan api galian. Manakala penurunan jumlah nilai import adalah disebabkan oleh penurunan indeks nilai unit iaitu 8.6 peratus sementara indeks volum import meningkat iaitu 0.1 peratus.

    IMTI menunjukkan perubahan nilai unit dan kuantiti komoditi import dan eksport di Negara Brunei Darussalam dalam tempoh tertentu.

    Indeks itu juga bermanfaat untuk membuat analisis pasaran global yang berdaya saing dalam mengukur dan membuat unjuran inflasi dan penyusunan akaun negara.

    Laporan penuh IMTI bagi Q4 2023 dan Tahunan 2023 boleh didapati melalui laman sesawang JPES.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda