Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak Palestin meninggal dunia ditembak tentera Israel

    JERUSALEM, 5 JUN – Seorang budak lelaki Palestin berusia tiga tahun yang ditembak oleh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki minggu lalu telah meninggal dunia akibat kecederaannya, kata pegawai hospital Israel hari ini.

    Mohammed al-Tamimi ditembak di kepala Khamis lalu berhampiran kampungnya, Nebi Saleh ketika menaiki kereta bersama bapanya.

    Dia telah dihantar ke Hospital Sheba Israel, yang mengumumkan kematian budak itu.

    Tentera Israel berkata, ia melepaskan tembakan selepas lelaki bersenjata di kawasan itu menembak ke arah pos pengawal Israel di penempatan Yahudi berdekatan.

    Tetapi bapa kanak-kanak itu, Haitham al-Tamimi, memberitahu The Associated Press (AP) bahawa dia baru sahaja memasangkan tali keselamatan untuk anaknya di dalam kereta dan hendak melawat bapa saudaranya ketika peluru itu mengenainya. Ayahnya juga ditembak dan dirawat di hospital Palestin.

    Tentera Israel telah membuka siasatan berhubung kejadian itu.

    Kumpulan hak asasi manusia, bagaimanapun, mengatakan bahawa siasatan sedemikian jarang membawa kepada pendakwaan atau tindakan tatatertib terhadap tentera.

    Tembakan itu adalah pertumpahan darah terbaharu dalam lonjakan keganasan lebih setahun di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis yang diduduki. Pertempuran itu telah meningkat sejak kerajaan berhaluan kanan baharu Israel mengambil alih kuasa pada akhir Disember.

    Hampir 120 rakyat Palestin telah terbunuh di dua kawasan itu tahun ini, dengan hampir separuh daripada mereka adalah anggota kumpulan militan bersenjata, menurut pengiraan AP. Tentera berkata, bilangan militan jauh lebih tinggi.

    Tetapi kanak-kanak yang melempar batu dan orang awam yang tidak terlibat dalam keganasan itu juga terbunuh. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda