BEIJING, 9 JAN – Kapal hospital ‘Peace Ark’ milik Tentera Laut China berlepas pulang ke tanah air pada Selasa selepas menyempurnakan Misi Harmoni-2024 melibatkan 13 negara Asia dan Afrika.
Sebelum meninggalkan dermaga Pangkalan Tentera Laut Changi di Singapura, kapal berkenaan membuat persinggahan teknikal di negara itu selama lima hari.
Dalam tempoh itu, ‘Peace Ark’ menerima kunjungan petugas perubatan tentera laut Singapura dan kakitangan kedutaan China yang ingin mendalami misi dilaksana kapal itu.
Kapal hospital ‘Peace Ark’ mula belayar dari Zhoushan, provinsi Zhejiang di timur China pada Jun 2024 dan berjaya menyelesaikan kunjungan muhibah ke 13 negara antaranya termasuk Seychelles, Tanzania, Mozambique, Afrika Selatan, Djibouti dan Sri Lanka selain menawarkan perkhidmatan perubatan kepada rakyat tempatan.
Dalam tempoh tujuh bulan, kapal hospital itu menyediakan perkhidmatan diagnosis dan rawatan kepada lebih 80,000 orang, menjalankan sebanyak 1,400 kali pembedahan serta hampir 40,000 pemeriksaan dan ujian. – Bernama