Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal kargo karam, satu maut, empat hilang

    BERLIN, 24 OKT – Seorang anak kapal maut dan empat lagi hilang akibat daripada sebuah kapal kargo yang karam selepas bertembung dengan sebuah lagi kapal di Laut Utara, kata pihak berkuasa Jerman hari ini.

    Dua lagi anak kapal lain dari kapal tersebut telah diselamatkan selepas bertembung dengan kapal kargo kedua awal hari ini, kata jurucakap Persatuan Penyelamat Laut Jerman (DGzRS), Christian Stipeldey.

    Kemalangan itu berlaku kira-kira 22 kilometer di barat daya pulau Helgoland, menurut Pusat Pemerintahan Jerman bagi Kecemasan Maritim (CCME).

    Beberapa kapal sedang terlibat dalam operasi penyelamatan di kawasan itu, kata agensi tersebut.

    Kapal yang karam dikenali sebagai Verity, berlayar di bawah bendera Britain dan dalam perjalanan dari Bremen ke bandar United Kingdom, Immingham.

    Dua kapal kargo Verity dipercayai telah karam kelmarin. – AFP

    Kapal lain ialah Polesie, menggunakan bendera Bahamas dan dalam perjalanan dari Hamburg ke La Coruna di Sepanyol.

    Verity, yang dimiliki oleh syarikat British, Faversham, adalah kapal yang lebih kecil dengan panjang 91 meter, berbanding dengan Polesie yang mempunyai panjang 190 meter.

    Polesie masih terapung dengan 22 orang di atas kapal, kata CCME.

    “Perkhidmatan kecemasan sedang melakukan segala yang mereka mampu untuk menyelamatkan individu yang hilang,” kata Menteri Pengangkutan Jerman, Volker Wissing, dalam satu kenyataan.

    “Fikiran saya bersama ahli kru, ahli keluarga mereka dan pasukan penyelamat yang telah berusaha sejak awal pagi.”

    Dua kapal penyelamat, sebuah kapal tunda kecemasan, sebuah bot pemandu, sebuah bot rondaan polis dan sebuah helikopter sedang membantu dalam operasi mencari, menurut CCME.

    “Kami tidak akan menghentikan operasi mencari dan menyelamat selagi masih ada peluang untuk menemui orang yang selamat,” kata jurucakap DGzRS, Stipeldey. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda