Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kasuka & Ar Rawda berpesta gol

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Pasukan Kasuka & Ar Rawda berjaya memperbaiki kedudukan di carta Liga Futsal Brunei (BFL) 2023 selepas menewaskan pasukan BIBD SRC dengan keputusan 11-4 bertempat di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.

    “Pemain-pemain telah menunjukkan peningkatan prestasi dan mempamerkan perlawanan yang menarik dengan melakukan disiplin dan corak permainan yang berkesan.

    “Kemenangan mutlak adalah sangat penting setiap perlawanan dan diharap pemain akan terus konsisten pada perlawanan akan datang,” ulas Ketua Jurulatih Kasuka & Ar Rawda, Wahyu Triyanto.

    Namun, ketua jurulatih yang juga mantan pemain kebangsaan futsal Indonesia itu nampak berkerut dahi selepas melihat beberapa orang pemainnya masih mementingkan persembahan individu sehingga kadang-kadang mencacatkan rentak permainan dalam pasukan.

    Menurutnya, kelebihan permainan individu boleh diserapkan untuk membina satu pasukan yang kukuh untuk memberikan kelebihan kepada pasukan.

    Aksi pemain Kasuka & Ar Rawda semasa bermain menentang BIBD SRC di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam, baru-baru ini. – Gambar serahan BFL

    Pesta jaringan Kasuka & Ar Rawda diperoleh menerusi sentuhan pemain import, Md Farhan Arman yang meledak empat jaringan. Manakala seorang lagi pemain import mereka dari Iran, Md Reza Rahmannia berjaya mencetak hatrik dalam perlawanan tersebut.

    Sementara itu, Md Nurbazli, Md Faiz Hasnan, Nur Yamin dan Awangku Md Nazirul Mubin turut menyumbang jaringan untuk Kasuka & Ar Rawda.

    Manakala, jaringan BIBD SRC diperoleh menerusi sentuhan Mohd Nur Fariz di minit ketujuh dan Ampuan Md Badruddin pada minit ke-27. Sementara jaringan Pengiran Anaqi Sufi tercipta pada minit ke-28 sebelum Awangku Md Nazirul Mubin memberi jaringan sagu hati pada minit ke-30.

    Pengurus BIBD SRC, Haji Md Fadhil Fahmi mengakui pasukannya masih menunjukkan banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama kehilangan konsentrasi ketika berhadapan pihak lawan.

    “Pemain-pemain lalai dengan persembahan individu dan keseluruhan pemain Kasuka & Ar-Rawda yang dibarisi ramai pemain berpengalaman dan dibantu pemain import sekali gus ia menjadi faktor kekalahan pasukan BIBD SRC”, jelasnya.

    Namun beliau memberi pujian atas kegigihan pemain yang memberikan saingan menarik kepada pasukan lawan sehingga mampu menghasilkan empat gol.

    Beliau menambah BIBD SRC akan terus berusaha memperbaiki segala kekurangan dan akan terus berjuang memberi persaingan bagi perlawanan-perlawanan seterusnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda