Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Sebanyak 17,722 hektar kawasan telah disediakan di luar pantai (offshore), antaranya Pelong A dan Pelong B, untuk diusahakan bagi aquaculture offshore dan setakat ini, dua buah syarikat telah mengusahakan di kawasan Pelong Rocks.
Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin mengongsikan perkara itu semasa menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Alluddin mengenai isu di bawah Jabatan Perikanan pada hari ketujuh Persidangan MMN ke-20 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, KSSUP akan mempromosikan kawasan-kawasan berkenaan dengan lebih aktif bagi membolehkan pelaburan langsung asing (FDI) untuk datang ke negara ini bagi mengusahakan kawasan tersebut.
Beliau turut menjelaskan mengenai tahap keselamatan di kawasan tersebut, yang merupakan satu faktor penting, di mana kawasan itu bebas daripada ancaman yang melibatkan keselamatan.
“Bagi keterjaminan keselamatan di kawasan tersebut, rondaan dibuat dengan agensi-agensi lain seperti Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dan juga Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan serta Jabatan Buruh,” jelasnya.