Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keadaan di Syria perlu dinilai untuk benarkan pelarian pulang secara sukarela

    NICOSIA, 17 MEI – Kerajaan dari lapan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) hari ini berkata keadaan di Syria perlu dinilai semula untuk membolehkan pelarian Syria pulang secara sukarela ke tanah air mereka.

    Dalam satu deklarasi bersama, pegawai dari Austria, Republik Czech, Cyprus, Denmark, Greece, Itali, Malta dan Poland berkata mereka bersetuju untuk membuat penilaian semula yang akan membawa kepada ‘cara yang lebih berkesan untuk mengendalikan pelarian Syria’ yang cuba sampai ke negara-negara EU.

    Lapan negara yang mengadakan perbincangan semasa mesyuarat sidang kemuncak di ibu negara Cyprus, menyatakan bahawa keadaan di Syria telah ‘berkembang dengan ketara’ walaupun kestabilan politik sepenuhnya belum tercapai.

    Cyprus dalam beberapa bulan kebelakangan ini telah menyaksikan peningkatan pelarian Syria yang tiba di negara pulau itu terutamanya dari Lubnan menaiki bot yang usang.

    Awal bulan ini, EU mengumumkan pakej bantuan $1 bilion euro untuk Lubnan yang bertujuan untuk meningkatkan kawalan sempadan bagi menghentikan aliran pencari suaka dan pendatang ke Cyprus dan Itali.

    Lapan negara itu mengatakan bahawa EU perlu meningkatkan lagi sokongan kepada Lubnan untuk mengurangkan risiko aliran yang lebih besar dari Lubnan ke EU.

    “Keputusan mengenai siapa yang berhak melintasi sempadan negara anggota, harus dibuat oleh kerajaan negara anggota yang berkaitan dan bukan oleh rangkaian jenayah yang terlibat dalam penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” menurut deklarasi bersama itu. – AP

    Pelarian Syria berkumpul berhampiran trak ketika mereka bersiap untuk pulang ke Syria sebagai sebahagian daripada kepulangan sukarela di bandar sempadan Arsal di timur Lubnan pada 14 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda