Sunday, October 6, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kecederaan tidak halang Sharul Aimy raih pingat Sukan SEA

    KUALA LUMPUR, 26 APRIL – Kecederaan buku lali dialami semasa menjalani latihan sejak awal tahun, bukan penghalang buat gimnas negara Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam memasang azam untuk meraih pingat di Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, pada 5 hingga 17 Mei depan.

    Sebaliknya Sharul Aimy, 22, bertekad untuk mempamerkan aksi dan merekodkan catatan terbaik dalam semua acara disertai, pada penampilan keduanya di temasya dwitahunan terbabit biarpun bakal berdepan saingan sengit.

    “Walaupun beransur pulih daripada kecederaan di bahagian buku lali dialami sebelum ini, namun ia (kecederaan) masih memberikan sedikit kesukaran untuk saya menjalani latihan.

    Bagaimanapun, saya tetap sasarkan untuk meraih pingat emas khususnya acara melombol.

    “Bagi acara berpasukan lelaki pula, kami akan buat sehabis baik untuk meraih pingat selepas hanya mampu menamatkan saingan di kedudukan keempat pada edisi Sukan SEA Hanoi lepas,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

    Dalam penganjuran temasya sukan itu kali ini,  Kemboja selaku tuan rumah hanya mempertandingkan disiplin artistik lelaki. 

    Sharul Aimy yang pernah beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada masa sama, menjangkakan berdepan tugas sukar dalam melunaskan impian pingat emas itu selepas juara dunia dari Filipina Carlos Yulo dilapor akan menyertai kebanyakan acara  artistik lelaki yang dipertandingkan di Kemboja.

    Selain Sharul Aimy, skuad negara ke Phnom Penh dibarisi Luqman Al Hafiz Zulfa, Ng Chun Chen, Teoh Chuen Feng serta dua atlet baharu iaitu Ally Hamuda dan Syakir Aiman Subri. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda