Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kecewa dilupakan lepas 4 tahun bersama

    Salam sejahtera kepada para pembaca Media Permata, sekadar ingin berkongsi apa yang terbuku di hati ini.

    Kisah yang ingin aku kongsi merupakan sebuah cerita yang menyayat hati tentang persahabatan dan pengkhianatan.

    Aku masih teringat saat-saat indah ketika kami belajar di universiti dulu. Kami menghabiskan masa bersama selama empat tahun yang penuh dengan kenangan manis.

    Aku, sahabat baikku dan seorang wanita yang pernah aku suka. Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa suatu hari nanti mereka berdua akan bersatu tanpa aku di sisi.

    Pagi itu, ketika aku membuka laman sosial, aku ternampak gambar-gambar perkahwinan mereka. Hati ini rasa seperti ditikam dengan pisau yang tajam.

    Gambar Freepik

    Wanita yang pernah aku simpan dalam hati kini sudah menjadi isteri sahabatku sendiri.

    Lebih menyedihkan lagi, aku langsung tidak dijemput ke majlis perkahwinan mereka.

    Bayangkan, kami pernah berkongsi segala suka duka, tapi pada hari paling penting dalam hidup mereka, aku seolah-olah dilupakan.

    Kami bertiga mengambil jurusan yang sama dan sering kali bekerja dalam kumpulan yang sama.

    Setiap projek, setiap tugasan, kami hadapi bersama. Namun, sepanjang empat tahun itu, tidak pernah sekali pun aku nampak tanda-tanda mereka bercinta.

    Aku pun tidak pernah dengar apa-apa gosip tentang mereka. Malah, aku masih ingat, wanita itu sering kali berkongsi cerita tentang cita-citanya, impiannya, tetapi tidak pernah menyebut tentang sahabatku itu.

    Aku tidak dapat menahan rasa kecewa. Kenapa mereka tidak pernah memberitahuku?

    Kenapa aku tidak dijemput? Soalan-soalan ini berlegar-legar dalam minda, menghantui setiap saat. Lebih memedihkan, semua rakan-rakan lain dijemput. Adakah aku telah melakukan sesuatu yang salah? Atau mungkin mereka merasakan aku tidak penting dalam hidup mereka?

    Namun, dalam rasa kecewa, aku cuba mencari pengajaran. Mungkin ini satu tanda untuk aku belajar melepaskan.

    Persahabatan bukan hanya tentang masa lalu, tetapi juga tentang keikhlasan dan kejujuran. Aku sedar bahawa, kadangkala, kita perlu melepaskan orang-orang yang kita anggap penting untuk memberi ruang kepada diri sendiri untuk berkembang dan mencari kebahagiaan yang baharu.

    Kisah ini menjadi satu pengajaran yang mendalam buatku. Walaupun hati ini pedih, aku cuba melihatnya dari sudut positif. Mungkin mereka ada alasan tersendiri yang aku tidak tahu. Dan mungkin, satu hari nanti, aku akan memahami semuanya.

    W@q1

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih atas perkongsian kisah saudara dalam ruangan ini.

    Pasti saudara berasa kecewa dengan apa yang dialami kerana sahabat adalah orang kedua yang kita percaya selepas ahli keluarga dan tempat kita meluahkan segala perasaan namun telah dikecewakan dengan sikap tidak terus terang sahabat saudara.

    Hanya sedikit nasihat di sini, saudara perlulah cari penjelasan daripada kedua-dua sahabat dan lebih baik bersemuka agar mereka dapat bersikap jujur dan terbuka.

    Jika mereka tidak mahu bersemuka, bagi ruang kepada mereka dan tidak perlu dipaksa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda