Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keganasan semakin menjadi di New Caledonia

    NOUMEA, 17 MEI – Keganasan berlaku di seluruh New Caledonia untuk hari ketiga berturut-turut kelmarin, beberapa jam selepas Perancis mengenakan keadaan darurat di wilayah Pasifik Perancis, meningkatkan kuasa pasukan keselamatan untuk meredakan pergolakan di kepulauan itu yang telah lama menuntut kemerdekaan.

    Pihak berkuasa Perancis di New Caledonia dan kementerian dalam negeri di Paris berkata lima orang, termasuk dua pegawai polis, terbunuh selepas protes awal minggu ini berhubung reformasi pengundian yang didorong oleh kerajaan Presiden Emmanuel Macron bertukar membawa maut.

    Sekurang-kurangnya 60 anggota pasukan keselamatan cedera dan 214 orang ditahan berhubung pertempuran dengan polis, pembakaran dan rompakan kelmarin, kata pegawai tinggi Perancis wilayah itu, Pesuruhjaya Tinggi Louis Le Franc.

    “Segala-galanya sedang dilakukan untuk memulihkan keadaan dan ketenangan yang patut diterima oleh orang Caledonia,” kata Perdana Menteri Perancis, Gabriel Attal selepas mesyuarat di istana presiden Elysee di Paris.

    Beliau berkata sebagai tambahan kepada 1,700 pasukan keselamatan yang telah dikerahkan untuk membantu polis, 1,000 lagi sedang dalam perjalanan tetapi keadaan “kekal sangat tegang, dengan rompakan, rusuhan, pembakaran dan serangan, yang tidak dapat ditanggung dan tidak terkata.”

    Dua ahli komuniti Kanak Orang Asli di pulau itu adalah antara lima yang maut, kata Menteri Dalam Negeri dan Wilayah Luar Negara Perancis Gerald Darmanin pada kelmarin sambil berikrar bahawa Perancis ‘akan mendapat semula kawalan penuh’.

    Beliau berkata 10 orang, kesemuanya didakwa daripada gerakan pro-kemerdekaan dikenali sebagai Unit Penyelarasan Field Acton, berada di bawah tahanan rumah. Pada bulan April, kumpulan itu telah menyokong beberapa protes terhadap pihak berkuasa Perancis di pulau itu.

    Namun, Darmanin mendakwa pergerakan itu adalah “kumpulan kecil yang menggelar dirinya pro-kemerdekaan, tetapi sebaliknya melakukan rompakan, pembunuhan dan keganasan.” – AP

    Seorang lelaki berdiri di hadapan kereta yang terbakar selepas kekacauan di Noumea, New Caledonia, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda