Saturday, May 11, 2024
31.6 C
Brunei

    -

    Kekurangan tenaga buruh jejas syarikat perladangan

    PUTRAJAYA, 13 JAN – Sehingga kekosongan kerja di ladang kelapa sawit diisi, situasi kekurangan tenaga buruh berkemungkinan akan menjadi lebih teruk bagi syarikat perladangan pada suku pertama tahun 2022 sebelum keadaan bertambah baik, kata Sime Darby Plantation Bhd (SDP).

    Pengarah Urusannya, Mohamad Helmy Othman Basha berkata industri itu kekurangan 70,000 pekerja kerana pintu sempadan ditutup untuk mencegah penularan COVID-19 dan sehingga kekosongan jawatan tersebut diisi, keadaan akan menjadi buruk.

    “Kekurangan tenaga buruh telah mengakibatkan kehilangan hasil cukai kepada kerajaan dan kita harus mencari peluang lain dan tidak bergantung kepada pekerja asing,” katanya pada Seminar Kajian dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit 2022 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.

    Kekurangan pekerja dikenal pasti sebagai punca penurunan 20-30 peratus dalam pengeluaran buah tandan segar (FFB).

    Sementara itu, Pengarah Bahagian Ekonomi dan Pembangunan Industri MPOB, Fauziah Arshad berkata kerajaan perlu merangka dasar yang relevan untuk memastikan minyak sawit Malaysia terus relevan.

    “Minyak sawit (industri) kita mungkin tidak berkembang cemerlang seperti sebelum ini kerana kawasan ladang terhad dan kita tidak boleh membandingkan jumlahnya dengan Indonesia. Bagaimanapun, kita boleh mengukuhkan peluang eksport.

    “Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki adalah contoh kejayaan dalam eksport minyak sawit yang diproses. Oleh itu, kita harus menyemak pengaturan perdagangan dua hala untuk meningkatkan perdagangan kita dengan negara pengimport,” katanya.

    Fauziah berkata walaupun eksport minyak sawit Malaysia telah mencapai 90 peratus daripada pengeluarannya, nisbah eksport antara minyak sawit yang diproses dan mentah telah menurun dan sekiranya ia berterusan, Malaysia tidak akan dapat mencapai sasaran pengembangan hilirannya.

    Timbalan Presiden Gabungan Industri Biojisim Malaysia (MBIC), Kester Chin pula berkata pengeluaran dan pemprosesan biojisim tidak mencapai potensi sepenuhnya.

    “Jumlah nilai biojisim ialah 95 juta tan tetapi hanya 28 juta tan yang digerakkan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...