Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemenangan Man City kusutkan Arsenal

    MANCHESTER, ENGLAND, 13 FEB – Juara bertahan, Manchester City bangkit semula kelmarin apabila berjaya membenam Aston Villa 3-1 ketika kelab tersebut berdepan dengan tuduhan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana.

    Jika City berjaya mendapatkan kemenangan apabila bertemu Arsenal pada Rabu akan datang, City akan naik ke puncak Liga Perdana buat kali pertama sejak Ogos dan melenyapkan jurang lapan mata yang memisahkan antara kedua-dua pasukan itu baru-baru ini.

    Ia adalah satu perubahan yang dijangka apabila City tewas 1-0 kepada Tottenham minggu lalu dalam perlawanan yang menyaksikan pemain bintang Guardiola, Kevin de Bruyne dalam percubaannya untuk mempertahankan kejuaraan pasukannya.

    Tetapi Arsenal juga terkandas sehingga kehilangan lima mata sejak dua minggu lalu, termasuk seri 1-1 dengan Brentford pada Sabtu, untuk memberi harapan kepada pesaing ketatnya iaitu City dan Manchester United.

    Penonton tuan rumah di Stadium Etihad mengejek lagu Liga Perdana sebelum perlawanan tersebut dimulakan dan menyanyikan lagu mengenai pemiliknya, keluarga pemerintah Abu Dhabi sebagai tanda protes terhadap dakwaan Liga Perdana kepada isu kewangan City baru-baru ini.

    Hanya empat minit sahaja setelah bermulanya perlawanan, City berjaya membuat peminat mereka bersorak apabila Rodri membuka jaringan.

    Ilkay Gundogan menjaringkan gol kedua pada minit ke-39 dan Riyad Mahrez menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit pertama masa kecederaan pada penghujung babak separuh masa pertama.

    Ollie Watkins berjaya membalas satu gol untuk Villa pada minit ke-61 setelah Guardiola mengeluarkan penjaring terbanyaknya, Erling Haaland dan Ruben Dias pada separuh masa kedua sebagai persediaan City untuk perlawanan pada pertengahan minggu ke Stadium Emirates dalam pertembungan dengan Arsenal.

    Namun pertahanan kejuaraan City masih menjadi tanda tanya pada musim ini bagi menghadapi prestasi cemerlang Arsenal. – AP

    Bernardo Silva beraksi semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad di Manchester, England – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda