Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen kebersihan pantai lindungi alam sekitar

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Sebanyak 103 kilogram sampah berjaya dikutip di kawasan Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas dengan 80 peratus sampah terbabit melibatkan plastik seperti botol semasa kempen kebersihan pantai anjuran badan pelajar Halalan Thayyiban Student Society (HTSS) dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Menurut kenyataan UNISSA, hari ini, program yang diketuai oleh Pengerusi HTSS, Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Sani itu juga dihadiri oleh timbalan pengarah dan tenaga akademik PPHT.

    Sebelum kempen dimulakan, Pengarah PPHT, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim turut menyampaikan ucapan alu-aluannya yang menekankan kebaikan kempen itu dalam melahirkan pelajar dan masyarakat yang cakna bagi menjaga persekitaran demi mengekalkan ekosistem dan habitat yang sihat.

    Menerusi kempen itu, tambahnya, ia juga satu usaha yang baik dalam membantu pihak kerajaan untuk sentiasa memastikan kawasan pantai dan taman rekreasi dalam keadaan bersih untuk dikunjungi oleh orang awam.

    “Saya melahirkan rasa bersyukur kerana program ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dan ia juga mendukung agenda kelestarian alam oleh Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya sebelum memulakan kempen tersebut.

    Pengiran Dr Hajah Norkhairiah bersama para peserta bergambar ramai semasa kempen berkenaan. – Gambar serahan UNISSA

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda