Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan Sabah sedia mulakan rundingan lanjut

    KOTA KINABALU, 26 JULAI – Kerajaan Sabah tetap bersedia dan mampu untuk memulakan rundingan lanjut mengenai pemberian khas yang selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, kata Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.

    Beliau berkata perkara itu berikutan maklum balas Kementerian Kewangan kepada pertanyaan di Parlimen pada 16 Julai lalu, bahawa kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JTMTPMA63) komited untuk membincangkan kadar pemberian khas baharu untuk Sabah.

    Brenndon berkata penting untuk mengesahkan bahawa Sabah secara penyelesaian interim, tanpa menjejaskan hak perlembagaannya telah menerima peningkatan pembayaran pemberian khas dengan Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membayar RM125.6 juta pada 2022 dan RM300 juta tahun lepas.

    “Selaras dengan Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan, sekiranya kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Sabah tidak dapat mencapai persetujuan mengenai mana-mana perkara berkaitan semakan pemberian khas, perkara tersebut hendaklah dirujuk kepada penaksir bebas dan syor penaksir bebas mengenai perkara itu hendaklah mengikat kepada kedua-dua kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata sebagai sebahagian daripada interim arrangement yang dipersetujui kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan serta memastikan rundingan yang telus dan konstruktif antara pihak-pihak, data kewangan yang melibatkan hasil diperolehi daripada Sabah hendaklah didedahkan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda