ADDIS ABABA, 16 JUN – Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) mengumumkan bahawa wabak taun yang sedang melanda di Ethiopia telah meragut 153 nyawa setakat ini, lapor Xinhua.
Dalam laporan pada Rabu lalu, menurut UNOCHA, wabak itu kini merebak di 85 daerah di wilayah Oromia, Selatan, Somalia dan Sidama yang telah menjejaskan lebih 10,000 penduduk.
Wabak itu adalah antara yang paling lama pernah direkodkan di Ethiopia, dengan kes pertama dilaporkan pada Ogos 2022.
Menurut laporan itu, sumber yang terhad, tekanan keupayaan dan kekurangan dana menghalang UNOCHA untuk bertindak dengan cekap dalam menangani wabak berkenaan.
Data menunjukkan lebih 1.8 juta orang telah divaksinasi dan pada bulan lalu, tujuh juta rakyat Ethiopia berisiko dijangkiti.
Menurut laporan itu lagi, hanya 24 peratus daripada jumlah keseluruhan permintaan dana sebanyak AS$4 bilion di bawah Pelan Tindak Balas Kemanusiaan Ethiopia 2023 telah dibiayai. – Bernama