ISKANDAR PUTERI, 6 NOV – Ketiadaan dua pemain utama akibat kecederaan menjejaskan perancangan Ulsan HD untuk beraksi dengan barisan terbaik ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) kelmarin.
Ketua jurulatih pasukan dari Korea Selatan itu, Kim Pan Gon berkata hal itu antara punca kekalahan mereka kepada JDT pada perlawanan keempat Liga Juara-Juara Elit (ACLE) 2024/25 di Stadium Sultan Ibrahim.
Beliau berkata pasukannya terpaksa mengharungi perlawanan yang amat mencabar apabila dua pemain, Lee Myeong Jae dan Ko Seung Beom, tidak dapat diturunkan untuk menentang JDT.
“Saya sedar kualiti yang dimiliki JDT, mereka mempunyai ramai pemain yang berkualiti dan berkebolehan, pada masa sama ketiadaan mereka (dua pemain itu) memberi impak besar kepada perancangan pasukan.
“Kami juga bergelut mendapatkan rentak terbaik seawal minit pertama permainan dan ia kelihatan semakin sukar selepas Arif Aiman menjaringkan gol,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan. – Bernama