Monday, December 2, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua Baharu EU lawat Kyiv pada hari pertama bertugas

    KYIV, 1 DIS – Ketua baharu diplomasi Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas dan Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa, tiba di Kyiv hari ini dalam lawatan simbolik untuk menyokong Ukraine pada hari pertama mereka memegang jawatan.

    “Kami datang untuk memberikan mesej jelas bahawa kami berdiri teguh bersama Ukraine dan akan terus memberikan sokongan penuh,” kata Costa kepada media termasuk AFP yang mengiringi lawatan tersebut.

    Langkah itu menandakan komitmen kepimpinan baharu EU untuk menyokong Kyiv di saat genting, hampir tiga tahun selepas Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran terhadap Ukraine.

    Timbul persoalan mengenai kesinambungan sokongan Amerika Syarikat (AS) apabila Donald Trump dijangka memegang jawatan Presiden pada Januari.

    Terdapat kebimbangan beliau mungkin memaksa Kyiv membuat konsesi besar demi mencapai perjanjian damai segera.

    Sementara itu, ketegangan semakin memuncak apabila Presiden Rusia, Vladimir Putin mengancam menyerang bangunan kerajaan di Kyiv menggunakan peluru berpandu baharu, Oreshnik.

    Ancaman itu menyusul selepas Putin menggunakan peluru berpandu itu terhadap Ukraine buat kali pertama bulan lalu.

    Kremlin mendakwa langkah tersebut sebagai tindak balas terhadap Kyiv untuk menyerang wilayah Rusia menggunakan peluru berpandu AS dan Britain.

    Putin turut memberi amaran akan membalas negara yang membekalkan senjata tersebut.

    Ketika musim sejuk bermula, Rusia melancarkan serangan hebat terhadap grid tenaga Ukraine, manakala di barisan hadapan, tentera Kyiv yang keletihan semakin hilang kawalan dengan serangan berterusan Moscow.

    “Keadaan di Ukraine sangat teruk,” kata Kallas, bekas Perdana Menteri Estonia. “Namun jelas, kosnya sangat tinggi untuk Rusia juga.” – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda