Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua kampung harus kekalkan perpaduan masyarakat

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Seorang ketua kampung berperanan serta bertindak selaku perantara dua hala bukan hanya sebagai mata, telinga dan lidah malah juga kaki dan tangan kerajaan serta penduduk kampungnya bagi menjaga dan mengawasi kepentingan dan keselamatan kampung di bawah penjagaannya.

    Seorang ketua kampung harus bertanggungjawab mewujudkan, memelihara dan mengekalkan persefahaman, perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat serta menggalakkan sema-ngat bermucang-mucang supaya ia tidak luput dimakan zaman.

    “Seorang ketua kampung itu juga berperanan mengadakan perundingan, permuzakarahan dan permuafakatan dengan majlis perundingan kampung (MPK) serta bersama anak buah kampung mengenai apa jua perkara berkebajikan untuk pembangunan, kesentosaan dan kesejahteraan terutama yang berkaitan dengan permasalahan anak-anak buah kampung, keselamatan dan keamanan dalam sesebuah kampung dan negara umumnya.”

    Penekanan itu dibuat oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim semasa Majlis Pengundian dan Pemilihan bagi Calon Ketua Kampung Kawasan 4, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor, Mukim Mentiri yang berlangsung di Taman Riadah Bukit Mengkubau, hari ini.

    Awang Misle berkata lagi, dengan melakukan perkara itu, ketua kampung dapat mendekatkan diri mereka dengan anak-anak buah kampung dan mukim serta seterusnya memperkukuhkan lagi jalinan silaturahim antara ketua kampung dengan anak buah masing-masing.

    Ia juga akan menyumbang kepada suasana mukim dan kampung yang lebih harmoni dan sejahtera seperti mana yang diharapkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Setelah melalui beberapa proses yang telah ditetapkan, akhirnya hanya seorang calon sahaja yang berjaya dibawa ke majlis pengundian dan pemilihan calon ketua kampung iaitu Awang Faidil Rosemady bin Mohamad berumur 44 tahun yang sudah bermastautin di kampung berkenaan sejak tahun 2015.

    Dalam majlis pengundian berkenaan, sebanyak 112 undian telah diterima di mana daripada jumlah berkenaan sebanyak 111 undian bersetuju, tiada undian tidak bersetuju dan satu undi rosak.

    Antara yang hadir untuk membuat undi semasa majlis pengundian dan pemilihan calon Ketua Kampung Kawasan 4, Rancangan Perumahan Negara Panchor, Mukim Mentiri, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JDBM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda