SEJENIS lagi tumbuhan liar tempatan yang memiliki bunga menarik ialah spesies Ixora congesta. Nama tempatannya ialah pokok Siantan manakala nama gelarannya pula ialah ’Malayan Ixora’ dan pokok Jejarum di mana merujuk kepada bunganya yang belum berkembang berbentuk seakan-akan jarum.
Ia tergolong dalam keluarga tumbuhan Rubiaceae dan boleh ditanam sebagai tanaman hiasan kerana mampu mempamerkan jambak bunganya yang cantik berwarna oren atau jingga.
Sejambak bunganya merupakan satu kumpulan bunga-bunga kecil yang boleh mencapai sehingga 60 kuntum bilangan.
Dengan bunganya yang berwarna terang dan berbau wangi itu ia mampu untuk menarik perhatian serangga seperti rama-rama, kumbang dan lebah untuk bertandang menghisap madu.
Buahnya berwarna merah ketika muda dan hitam ketika masak ranum. Daunnya pula berwarna hijau tua berbentuk lebar bujur telur dan runcing di hujung.
Spesies asli ini boleh didapati tumbuh meliar di hutan dan pokoknya boleh mencapai ketinggian sehingga melebihi tiga meter. Selain sebagai tumbuhan negara kita ia juga dikatakan tumbuh meliar di negara Republik Singapura.
Pembiakan
Ia mudah dibiakkan dengan menggunakan kaedah keratan batang atau ranting yang matang dengan mengerat beberapa barang atau ranting berukuran kira-kira enam inci panjang.
Sapukan hormon penggalak pada akar pada bahagian bawah keratan tadi bagi mempercepatkan pertumbuhan akar.
Tanam dalam medium tanaman seperti tersebut di bawah. Letak di tempat teduh dan masukkan atau tutup bekas tanaman dengan beg plastik juga untuk mempercepatkan pertumbuhan akarnya.
Pokok ini mudah tumbuh dalam medium tanaman yang bersaliran baik yang kaya dengan bahan organik seperti najis ayam reput dan sebagainya. Gunakan campuran tanah untuk pokok berpasu iaitu dalam nisbah 3:2:1 yang merangkumi tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai).
Penjagaan
Siram pokok Malayan Ixora pada waktu pagi dan petang pada hari panas. Siram bila perlu sahaja pada hari hujan jika pokok terus terdedah kepada titisan air hujan.
Ia perlu untuk didedahkan kepada cahaya matahari terus atau sedikit terlindung untuk menggalakkan ia berbunga cantik sepanjang masa.
Semua jenis baja sama ada baja kimia atau baja organik seperti najis ayam dan sebagainya adalah sesuai untuk pokok ini.
Sebagai pokok pagaran ia perlulah dipotong dan dibentuk kemas sentiasa supaya tidak nampak semak seperti tidak terurus.
Elakkan akar pokok ini terendam dalam air begitu lama sehingga boleh mereputkannya dan boleh mematikan pokok berkenaan.
Idea pameran
Pada dasarnya Malayan Ixora sesuai ditanam sebagai pokok pagaran yang berbunga cantik tetapi perlu dipotong kemas sentiasa, sesuai untuk mereka yang sukakan kediamannya dipagari dengan tanaman hiasan berbunga cantik dan menarik.
Spesies Ixora ini juga boleh ditanam dalam pasu agak besar saiznya untuk memudahkan ia dipindah selalu bagi tujuan hiasan di pelbagai ruang kediaman.
Ia juga boleh dicampur dengan pokok lain dalam gubahan pokok berbunga atau berdaun.