Pelakon Puteri Sarah Liyana berasa lucu apabila menerima kiriman laporan blog daripada salah seorang pengikutnya yang mengatakan dia bakal bersemuka dengan madunya, Ira kazar.
Puteri Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37, berkata, laporan tersebut sama sekali tidak benar malah tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara tersebut.
Jelasnya, perkara itu tidak mungkin terjadi tambahan pula dia kini masih lagi berada di Mekah bagi menunaikan umrah.
“Ramai beritahu Sarah perkara ini. Ia sangat kelakar, namun itu tidak mungkin terjadi,” ujarnya.
“Saya pun masih lagi berada di Mekah. Diharap warganet bertenang,” tambahnya.
Puteri Sarah berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya semalam.
Menerusi paparan yang dikongsi, tajuk yang tertera pada artikel berkenaan berbunyi ‘Saya akan jumpa Ira Kazar. Sebelum dia ajak saya… Saya akan… Akhirnya Puteri Sarah akan bersemuka…’
Terdahulu, Syamsul membuat kejutan apabila mengumumkan telah bernikah dengan Ira di Thailand dan berwakilkan wali bapanya, Kazar Saisi.
Susulan daripada pendedahan itu, Sarah memfailkan permohonan cerai pada 16 Januari lalu.
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menetapkan 7 Mac depan sebagai hari sebutan kes bagi permohonan cerai berkenaan.
Untuk rekod, Syamsul mendirikan rumah tangga bersama Sarah pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul, 6, dan Sumayyah, 5. – Agensi