Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Klinik dan Taman Terapeutik As-Syafii dirasmi

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Kementerian Kesihatan, hari ini, telah mengadakan Majlis Penukaran Nama Klinik Pesakit Luar dan Perasmian Taman Terapeutik kepada Klinik dan Taman Terapeutik As-Syafii di Jabatan Perkhidmatan Psikiatri, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kampung Kiarong.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan penukaran nama klinik dan perasmian taman berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
     
    Terdahulu majlis perasmian, Ketua Jabatan Perkhidmatan Psikiatri, Pengiran Dr Fariza Suryani binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan sejarah, perkembangan dan pencapaian Jabatan Perkhidmatan Psikiatri sejak ia mula ditubuhkan sehingga kini.
     
    “Jabatan ini telah menjalani pelbagai pembangunan dan perkembangan kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan, di mana perkhidmatan yang disediakan sekarang meliputi rawatan untuk golongan kanak-kanak dan remaja, orang dewasa dan warga emas, melalui penjagaan wad dalaman, klinik pesakit luar, lawatan ke rumah dan program rehabilitasi. 
     
    “Di samping itu, beberapa anak tempatan juga telah pulang daripada latihan kepakaran mereka dan mula berkhidmat dalam jurusan kejururawatan dan perubatan kesihatan mental,” tambahnya.
     
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan melihat lebih dekat sekitar taman terapeutik. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menanam sepohon pokok di taman terapeutik. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan meninjau kemudahan-kemudahan yang terdapat di Klinik dan Taman Terapeutik As-Syafii yang baru dirasmikan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Beliau turut menegaskan betapa pentingnya usaha-usaha memerangi stigma termasuk perasaan malu yang dialami oleh mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental serta perasaan negatif masyarakat terhadap mereka. 
     
    Untuk membantu usaha-usaha mengatasi stigma, jelasnya, Klinik dan Taman Terapeutik As-Syafii ini membawa maksud ‘penyembuh’ dan diharapkan untuk meningkatkan penerimaan masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan mental. 
     
    Menurut beliau lagi, sama seperti penyakit fizikal, penyakit kecelaruan mental juga boleh dirawat menggunakan pendekatan holistik yang merangkumi aspek rawatan biologi, psikologi, sosial dan kerohanian.
     
    Sejurus perasmian klinik itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan melawat dan melihat lebih dekat kemudahan yang terdapat di klinik berkenaan dan menandatangani plak perasmian, yang kemudian menanam sepohon pokok di taman terapeutik baharu.
     
    Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Dato turut menyampaikan sijil penghargaan kepada syarikat-syarikat dan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam yang telah memberikan sumbangan bagi projek pembinaan taman dan pengubahsuaian klinik pesakit luar psikiatri.
     
    Turut hadir di majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap, pemangku ketua pengarah perkhidmatan perubatan dan kesihatan, ketua-ketua jabatan, berserta pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.
     
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda