Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea U beri amaran keras terhadap latihan ketenteraan

    SEOUL, 17 FEB – Korea Utara hari ini mengancam melakukan tindak balas tegas ‘yang tidak pernah dilakukan sebelum ini’ terhadap latihan ketenteraan bersepadu Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, dan menyifatkannya sebagai persediaan untuk perang.

    Amaran itu dibuat menjelang latihan kecemasan minggu hadapan di Washington, di mana kedua-dua negara bersekutu itu akan membincangkan tindak balas terhadap penggunaan senjata nuklear oleh Pyongyang.

    Korea Utara sudah lama mengutuk latihan ketenteraan bersepadu AS-Korea Selatan, menggelarnya latihan untuk pencerobohan.

    Ia menganggap latihan yang dirancang tahun ini ‘dengan hanya kebimbangan dan alasan…sebagai persediaan untuk peperangan’, kata jurucakap bagi kementerian luar Korea Utara dalam kenyataan yang diterbitkan oleh media negara.

    Jika Washington dan Seoul meneruskan latihan, “Mereka akan berdepan tindakan balas yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dan tegas,” tambah kenyataan.

    Gambar bertarikh 8 Februari 2023 menunjukkan tentera Korea Utara membuat perarakan sempena penubuhan negara itu ke-75 tahun. Korea Utara memberi amaran terhadap tindakan AS dan Korea Selatan mengadakan latihan bersepadu. – AP

    Di bawah pimpinan Presiden Yoon Suk Yeol, Korea Selatan meningkatkan latihan ketenteraan bersama AS, yang telah ditangguhkan semasa pandemik COVID.

    Mereka juga menangguhkan diplomasi dengan Pyongyang semasa pemerintahan presiden terdahulu.

    Kerajaan Yoon ingin meyakinkan orang awam yang semakin bimbang mengenai komitmen Washington untuk menghalang Pyongyang, yang tahun lalu mengisytiharkan negaranya sebagai kuasa nuklear ‘tidak dapat dipulihkan’ dan menjalankan sejumlah ujian senjata.

    Latihan minggu hadapan akan menumpukan ‘perancangan bersama, pengurusan bersama dan tindak balas bersama dengan aset nuklear Washington’ sekiranya berlaku serangan nuklear oleh Pyongyang, kata pegawai kementerian pertahanan Korea Selatan kepada AFP hari ini.

    Kenyataan agresif Pyongyang menggambarkan kepentingan latihan tersebut, kata Yang Moo-jin, profesor di University of North Korean Studies di Seoul.

    Latihan itu akan menjadi kriteria penting sejauh mana senjata nuklear AS akan terlibat dalam menghalang Korea Utara, kata Yang kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda