Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kos pemulihan menelan belanja berbilion dolar

    WELLINGTON, 20 FEB – New Zealand hari ini berkata kos pemulihan akibat Siklon Gabrielle berkemungkinan akan menelan belanja berbilion dolar, ketika perintah darurat negara dilanjutkan seminggu.

    Perdana Menteri, Chris Hipkins mengesahkan 11 maut setakat ini selepas kejadian banjir kilat dan angin kuat yang melanda Pulau Utara, minggu lalu.

    “Kami bersimpati ke atas keluarga mangsa dan kami turut bersedih semasa waktu sukar ini,” tambahnya.

    Hipkins berkata jumlah kematian mungkin meningkat, namun angka yang masih dalam pencarian polis menurun kepada kira-kira 2,300 orang.

    Lebuh raya, bekalan tenaga dan komunikasi kini dibangunkan semula selepas kemusnahan yang dilakukan oleh siklon tersebut. Air banjir yang deras di bawa oleh siklon telah menghanyutkan atau merosakkan rumah, bangunan perniagaan, jambatan dan jalan raya di seluruh New Zealand.

    Menteri Kewangan, Grant Robertson hari ini merayu untuk mendapatkan bantuan sebanyak AS$187 juta.

    Robertson memberi amaran bahawa dana yang diminta itu setakat ini hanya ‘secebis’ daripada angka yang diperlukan, di mana dia menjangkakan kos akan menelan ‘berbilion dolar’.

    “Kami mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan untuk bangun semula selepas bencana,” kata Robertson, yang juga berkata, “Kami mempunyai sumber dan kami akan melaksanakannya.”

    Menurut Hipkins, 15,000 isi rumah di Pulau Utara kekal tanpa bekalan tenaga, kebanyakannya di bandar-bandar pantau timur di Gisborne dan Napier.

    Selepas mengadakan lawatan ke kawasan yang teruk terjejas, Hipkins berkata perintah darurat negara yang di-isytiharkan minggu lalu akan dilanjutkan selama tujuh hari. – AFP

    Imej yang diterbitkan oleh pasukan tentera New Zealand menunjukkan kawasan kediaman dibanjiri air di Napier, New Zealand, 15 Februari lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda