Friday, March 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kuarters kastam Labuan kini berwajah baharu

    LABUAN, 30 DIS – Kuarters petugas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan di Bukit Kuda di sini yang usang kini berwajah baharu selepas kerja-kerja naik taraf dan baik pulih bernilai RM3.19 juta selesai dilakukan bulan lepas.

    Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan, Ir Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah berkata projek yang bermula pada Julai dan siap penghujung November lepas itu melibatkan tujuh kontraktor bagi memastikan projek berkenaan siap mengikut jadual.

    “Projek ini menumpukan kepada peningkatan kemudahan fizikal dan mewujudkan persekitaran yang lebih selesa untuk petugas JKDM.

    “Antara kerja naik taraf yang dibuat ialah pembaikan struktur, pengindahan kawasan luaran dan dalaman, menaik taraf sistem paip dan sanitasi serta penambahbaikan lampu dan akses jalan raya,” katanya kepada Bernama selepas penyerahan projek itu kepada Pengarah Kastam Labuan, Aspalila Ag Tuah di kuarters Perumahan Kastam Bukit Kuda hari ini.

    Mohd Faizul berkata penambahbaikan itu akan dapat memberi kesan kepada kesejahteraan petugas kastam dan keluarga mereka, mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup penjawat awam.

    Sementara itu, Aspalila berkata pengubahsuaian kuarters kastam di Bukit Kuda ini ialah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam menambah baik infrastruktur awam di Labuan.

    “Ia merupakan langkah penting dalam memastikan kemudahan perumahan penjawat awam memenuhi piawaian moden, memberi manfaat dan kecekapan mereka dalam penyampaian perkhidmatan,” katanya. – Bernama

    Projek Penyelenggaraan dan Pembaikan Kuarters JKDM Wilayah Persekutuan Labuan di Layang-Layangan yang diserahkan oleh JKR Labuan, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda