Thursday, March 13, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kumpulan pertama 290 jemaah haji Thailand berlepas ke Tanah Suci

    SONGKHLA, 10 MEI – Kumpulan pertama jemaah haji Thailand untuk tahun ini berlepas ke Tanah Suci pagi kelmarin dengan menaiki penerbangan sewa khas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai.

    Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Wannapong Khocharak berkata Thailand mendapat kuota haji sebanyak 13,000 orang tahun ini.

    Namun, menurutnya hanya 7,738 jemaah haji Thailand yang akan berlepas ke Tanah Suci melalui 28 penerbangan pada bulan ini (Mei).

    “Kami berterima kasih kepada kerajaan Thailand yang memberi peluang kepada umat Islam khususnya di selatan Thailand untuk menunaikan ibadat haji,” katanya selepas hadir bersama Gabenor Wilayah Songkhla, Somnuk Promkhiau semasa majlis pelepasan pada 9 Mei.

    Sementara itu, agensi berita Saudi (SPA) kelmarin melaporkan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz di Madinah telah menerima penerbangan pertama yang membawa jemaah haji dari Thailand.

    “Mereka melengkapkan prosedur kemasukan dengan lancar dan mudah,” lapor SPA.

    SPA turut melaporkan bahawa Jabatan Pasport memanfaatkan semua keupayaannya untuk memudahkan prosedur kemasukan jemaah haji dengan menyokong platform udara, darat dan laut antarabangsa dengan peranti teknikal terkini yang dikendalikan oleh pasukan berkelayakan yang mampu berkomunikasi dalam bahasa jemaah. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda