MADRID, 31 Jan – Liga Sepanyol dijangka akan menggunakan pengadil video pada 2018 selepas dikritik teruk susulan kesilapan yang menyebabkan jaringan Barcelona dinafikan pada aksi La Liga minggu lalu.
Meskipun menyatakan tidak akan memberi sebarang komen terhadap kesilapan yang menyaksikan Barcelona terikat 1-1 menentang Real Betis, namun presidennya Javier Tebas berkata video pengadilan akan dilaksanakan selepas diluluskan oleh FIFA.
“Kami sentiasa mempertahankan penggunaan teknologi dalam bola sepak dan dalam kes ini kami percaya pengadil video adalah langkah terbaik dan paling maju,” kata Tebas.
“Ujian juga sedang dijalankan dan selepas diluluskan FIFA, kami jangka akan mula menggunakan sistem ini pada Julai 2018.”
Tebas menjelaskan pengadil video akan lebih bermanfaat berbanding penggunaan teknologi garisan gol seperti yang digunakan dalam beberapa liga di Eropah.
Katanya, sistem seperti Hawkeye terlalu mahal untuk digunakan hanya beberapa kali dalam tempoh setahun.
“Ada tiga kes membabitkan isu sama tahun ini namun tiada siapa yang memperkatakan mengenainya. Mungkin kali ini ia menjadi heboh kerana kedudukan bola yang masuk begitu dalam.”
Teknologi garisan gol berkemungkinan dapat membantu pada aksi penuh kontroversi yang berlangsung di Beniro Villamarin ketika tuan rumah mendahului Barcelona 1-0.
Pertahanan Betis cuba memintas hantaran lintang pemain Barcelona namun tertampan ke dalam gawang sendiri sebelum cuba dikeluarkan rakan sepasukannya walaupun bola dilihat sudah melepasi garisan gol.
Penjaga garisan kekal di tempatnya dan tidak berlari ke arah tengah padang sebagai tanda bahawa jaringan dilakukan sekali gus memaksa pengadil tidak mengesahkan jaringan terbabit.
“Anda sendiri lihat begitu jelas bola itu sudah melepasi garisan gol sebanyak satu meter,” kata penyerang Barcelona, Luis Suarez. – AP