Thursday, March 13, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latih graduan tempatan sebagai mutawwif haji, umrah

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Ke arah menyampaikan hasrat Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), untuk menjadi pusat penyedia khidmat kursus haji dan umrah, kolej berkenaan sedang dalam proses menyediakan kurikulum yang bersesuaian dan menyusun struktur program baharu yang dinamakan Program Sijil Latihan Profesional Haji dan Umrah.

    Pada Disember 2024, sesi perbincangan mengenai kursus haji dan umrah telah diadakan di Dewan Tarbiah, yang dipengerusikan oleh Raes KUPU SB yang melibatkan 40 orang pegawai dari 26 syarikat operator haji dan umrah berdaftar di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa memberi respons kepada pertanyaan bagi jawab lisan Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-21 pada hari ke-10, hari ini, di Bangunan Dewan Majlis.

    Dalam pertanyaan Yang Berhormat Hajah Rosmawatty mengemukakan agar graduan tempatan yang berpengetahuan bahasa Arab untuk dilatih dan diiktiraf sebagai mutawif dan pengiring bagi haji dan umrah.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menambah, pihak syarikat-syarikat operator menyambut baik cadangan itu bagi memastikan kesempurnaan manasik haji dan umrah untuk jemaah Brunei.

    Yang Berhormat Hajah Rosmawatty semasa mengajukan soalan pada Persidangan MMN, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    KUPU SB akan memastikan program ini diiktiraf oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK), jelasnya, dan ia juga akan menjadi sijil nilai tambah kepada kelulusan-kelulusan sedia ada di KUPU SB selain mendapat kelulusan daripada pihak MUIB sebagai sijil tauliah.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menambah, program ini dijangka ditawarkan pada Semester 1, Sesi Akademik 2025/2026, dengan sasaran pelajar terdiri daripada graduan KUPU SB dan orang ramai yang memenuhi syarat.

    “Program ini tidak bertujuan untuk melahirkan mutawwif atau mutawwifah yang menguruskan logistik jemaah seperti mengatur perjalanan, penginapan, mengurus visa pasport atau memantau pergerakan,” jelasnya.

    Yang Berhormat Pehin menjelaskan, program ini bertujuan untuk melahirkan pegawai pengiring haji dan umrah bertauliah yang akan membimbing jemaah di Tanah Suci agar mereka dapat menyempurnakan ibadat dengan sempurna selain membuka peluang pekerjaan kepada graduan-graduan lepasan universiti.

    “Selain itu, bagi mengajar agama di Negara Brunei Darussalam, seseorang perlu memperoleh tauliah daripada MUIB dan graduan program ini boleh memohon tauliah serta bekerja dengan syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji dan umrah,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda