TOKYO, 5 APRIL – Hampir 1.5 juta penduduk di Jepun adalah penyendiri sosial, menurut tinjauan baharu kerajaan, di mana satu per lima memetik wabak COVID-19 sebagai sebab utama mereka menyendiri.
Tinjauan tersebut adalah siasatan menyeluruh rasmi pertama Jepun mengenai kelaziman ‘hikikomori’, fenomena yang menjejaskan sebahagian besar masyarakat, daripada remaja hingga warga tua.
Alasan mengapa mereka mengasingkan diri dari masyarakat yang terkenal dengan budaya konformisme dan fokus pada kerja, boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti pengangguran, kemurungan atau buli di sekolah atau di tempat kerja.
Hikikomori terdiri daripada orang yang hanya keluar membeli-belah untuk membeli barangan runcit atau melayan hobi, kepada kes yang lebih ekstrem yang jarang meninggalkan rumah mereka sama sekali, kata tinjauan Pejabat Kabinet.
Tinjauan mendapati bahawa kira-kira 2 peratus daripada responden berumur antara 15 dan 64 tahun yang sedikit sebanyak telah mengasingkan diri daripada masyarakat, peratusan yang dianggarkan oleh pegawai berjumlah sekitar 1.46 juta orang.
Alasan paling kerap yang diberikan oleh responden adalah ‘berhenti kerja’ dalam tinjauan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Ini diikuti rapat oleh wabak COVID-19, yang disebut sebagai punca utama oleh 18 peratus daripada penyendiri berumur 15-39 tahun dan 20 peratus daripada mereka berumur 40-64 tahun.
“Nampaknya beberapa orang kebetulan memenuhi definisi kami mengenai hikikomori kerana mereka tidak berminat untuk keluar disebabkan oleh COVID dan akhirnya mempunyai kurang hubungan dengan masyarakat,” kata pegawai Pejabat Kabinet, Koji Naito kepada AFP.
Jabatan Kabinet berkata tidak ada data terdahulu yang boleh dibandingkan secara langsung dengan angka baharu tersebut. – AFP