Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Lebih 1,000kg sampah dikumpulkan

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Daniel Lim

    BELAIT, 9 OKT – Sebanyak 137 beg sampah dengan berat keseluruhan 1036.4kg berjaya dikumpulkan oleh para sukarelawan semasa kempen kebersihan pantai yang diadakan di Taman Rekreasi Peranginan Pantai Lumut, Belait, hari ini.

    Kempen anjuran Green Brunei dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Gleneagles Jerudong Park Medical Centre dan Kementerian Kesihatan itu disertai oleh seramai 200 sukarelawan termasuk ahli jawatankuasa Green Brunei, wakil dari Pejabat Daerah Belait, MPK Lumut II, pelajar sekolah dan orang awam.

    Ia turut dikendalikan di bawah Happy Environment and Lifestyle Programme (HEAL) bagi menyokong 20 Billion Steps Challenge BN on the Move, dengan 700,000 langkah dicapai dalam aktiviti tersebut.

    Semasa kempen itu, sampah-sampah yang dikutip termasuk plastik botol, tayar, pemetik api, jaring ikan, bungkusan makanan dan puntung rokok.

    Antara tujuan kempen kebersihan itu adalah untuk mengurangkan pencemaran pantai dan meningkatkan kesedaran tentang pantai yang bersih untuk masa depan lestari.

    Pada masa yang sama, ia juga menolong mendidik dan menggalakkan kesedaran awam dan tanggungjawab terhadap alam sekitar melalui pembuangan sampah yang betul.

    Sementara itu, lima sukarelawan teratas yang mengumpul jumlah sampah yang paling banyak turut menerima hadiah yang disampaikan oleh Pengasas Bersama dan Pengarah Penglibatan Masyarakat Green Brunei, Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

    Aktiviti itu turut disokong oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan, Bobby Electrical, Bestcopy Creations Printing, Warong Santai Hjh Nom dan Restoran Katering Kate.

    Antara sampah yang dikutip pada kempen kebersihan pantai di Taman Rekreasi Peranginan Pantai Lumut, Belait.
    Seramai 200 sukarelawan menyertai kempen kebersihan di Taman Rekreasi Perangin Pantai Lumut, kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Ancaman bom palsu cetus panik di 100 sekolah India

    NEW DELHI, 1 MEI - Ancaman bom palsu telah mencetuskan panik di sekolah di ibu negara India pada pagi tadi dengan ibu bapa bergegas membawa...