Tuesday, October 8, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 1,600kg sampah berjaya dikumpul

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Sebanyak 1,670.5 kilogram (kg) bahan kitar semula terdiri daripada kertas terpakai, aluminium, kotak kadbod, botol plastik dan logam telah berjaya dikumpulkan semasa Kempen Kitar Semula anjuran Green Brunei yang diadakan di tempat letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada Sabtu lalu.

    Antara bahan kitar semula yang dikumpul semasa kempen yang dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Kawan Bumi dan disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu merangkumi sebanyak 1,310kg kertas; 50kg botol plastik; 7.5kg aluminium; 290kg kotak kadbod; dan 13kg logam.

    Di samping itu, orang ramai juga telah menyumbangkan sisa elektronik seperti 16 set televisyen, enam monitor, tiga komputer riba, empat gelombang mikro, lima radio, lima pembesar suara, empat vakum dan 12 pencetak. Barangan kitar semula yang dikumpulkan akan diambil oleh Syarikat Kawan Bumi, yang kemudiannya akan diproses untuk dikitar semula di China, Malaysia atau Thailand.

    Kempen kitar semula itu adalah inisiatif Green Brunei bagi membantu melindungi alam sekitar dengan memisahkan sisa yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk terurai.

    Dengan cara ini, ia dapat membantu memelihara sumber, melindungi alam semula jadi, serta mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah.

    Projek ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 12, yang memberikan tumpuan kepada Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, dan sejajar dengan Strategi 7 dalam Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam, yang menekankan kepentingan pengurusan sisa.

    Oleh itu, dengan inisiatif kitar semula ini, ia turut diharap agar orang ramai akan lebih peka tentang bahan kitar semula yang diterima serta tujuan kitar semula dan sumbangan mereka dalam melindungi alam sekitar untuk memastikan Brunei yang bersih dan hijau.

    Antara barangan yang berjaya dikumpulkan. – GAMBAR SERAHAN GREEN BRUNEI
    Gambar ramai semasa kempen berkenaan. – GAMBAR SERAHAN GREEN BRUNEI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda