Wednesday, November 27, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih satu juta rokok elektronik dirampas dalam operasi di England

    LONDON, 26 NOV – Lebih satu juta unit rokok elektronik atau vape dirampas di England sepanjang 2023-2024 oleh pihak berkuasa piawaian perdagangan, mencatatkan peningkatan sebanyak 59 peratus berbanding tahun sebelumnya, lapor agensi berita Jerman, dpa.

    Produk-produk itu didapati tidak memenuhi piawaian keselamatan asas United Kingdom (UK), dengan kebanyakan mengandungi tahap nikotin yang melebihi had yang dibenarkan, menurut laporan National Trading Standards (NTS).

    Data terkini yang dikeluarkan hari ini menunjukkan sebanyak 1.19 juta rokok elektronik dirampas dalam Operasi Joseph sebuah inisiatif kerajaan UK bagi memperkukuh penguatkuasaan dan pematuhan terhadap penjualan produk vap.

    Operasi itu turut mendedahkan isu penjualan rokok elektronik haram kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, dengan hampir 24 peratus daripada 775 pembelian ujian yang dilakukan oleh pihak berkuasa perdagangan antara Januari dan Mac 2024, melibatkan pembelian oleh kanak-kanak.

    Angka tersebut diumumkan ketika ahli Parlimen bersiap sedia untuk mengundi pada Selasa mengenai Rang Undang-Undang Tembakau dan Vap, yang bertujuan menghalang individu yang lahir selepas 1 Jan 2009 daripada merokok dengan meningkatkan had umur pembelian tembakau secara berperingkat.

    “Untuk terus memerangi perdagangan haram produk tembakau dan vape, kerajaan melaburkan tambahan AS$12 juta untuk memastikan produk berbahaya ini tidak jatuh ke tangan kanak-kanak,” kata Menteri Kesihatan UK, Andrew Gwynne. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda