KUCHING, 1 DIS – Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditemukan maut dengan kesan tetakan di dalam bilik sebuah apartmen di Jalan Sungai Tapang, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Mohd Irwan Hafiz Mohd Radzi berkata bilik gerakan telah menerima laporan tersebut kira-kira pukul 4:40 pagi tadi dan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah telah ke lokasi kejadian.
“Tiba di lokasi kejadian, polis menemukan mangsa terbaring di dalam sebuah bilik di unit apartmen tersebut dengan kesan tetakan pada bahagian badan. Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir di lokasi.
“Susulan kes pembunuhan itu, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – Bernama