Tuesday, January 7, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki maut, rumah didiami runtuh di Kuching

    KUCHING, 5 JAN – Seorang lelaki maut apabila rumah yang didiaminya runtuh dalam kejadian di Jalan Stampin Baru, di sini awal pagi kelmarin.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian terbabit pada 2:50 pagi.

    “Sejurus tiba di lokasi, orang awam memaklumkan terdapat mangsa yang berada di dalam rumah kediaman satu tingkat jenis kekal berkenaan.

    “Susulan itu, pihak bomba bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di lokasi kejadian dan berjaya menemukan mangsa, seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di bawah runtuhan,” menurut PGO JBPM Sarawak dalam kenyataan di sini kelmarin.

    Lim Inn Tong, 58, berjaya dikeluarkan daripada runtuhan pada 4:05 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.

    Menurut sumber lain, mangsa dipercayai tinggal seorang manakala kakak dan anak saudaranya tinggal bersebelahan rumahnya.

    “Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian terbabit,” menurut kenyataan itu. – Bernama

    Gambar Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda