Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki tua misteri menyeberang jalan

    Oleh Die-Mah A.F. –

    Pada suatu hari, Zul yang bekerja di salah satu daerah di negara kita pulang dari kerja kira-kira pukul 12 malam. Memang hari itu Zul habis kerja malam kerana gilirannya adalah syif petang. Oleh kerana keesokannya adalah cuti awam, Zul bercadang untuk pulang ke rumah orang tuanya pada malam itu juga.

    Zul berusia kira-kira 21 tahun dan seorang yang agak berani. Setelah selesai mengambil barang-barang di berek, Zul pun memulakan perjalanannya. Sebelum itu, salah seorang rakan sekerjanya sempat menasihati Zul agar berhati-hati dalam perjalanan kerana hari sudah larut malam dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

    Rakannya itu juga menasihati Zul agar tidak menumpangkan sesiapa saja yang menahan keretanya di tengah jalan kerana besar kemungkinan ‘orang’ itu adalah hantu atau makhluk halus. Sebelum itu pun rakannya itu pernah melalui peristiwa yang menakutkan yang membuatnya serik untuk pulang tengah malam.

    Zul hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih atas nasihatnya itu. Pada mulanya terusik juga hati Zul mendengar cerita tersebut tetapi kerana sudah berjanji dengan orang tuanya untuk pulang pada hari itu, dia meneruskan perjalanannya dengan bertawakal kepada Allah.

    Agar cepat sampai ke rumah, Zul melalui lebuh raya yang kini telah diterangi lampu-lampu jalan. Agar tidak mengantuk semasa memandu, dia memasang kaset yang mengalunkan lagu-lagu rancak. Kebetulan pula pada hari itu jalan raya tersebut agak sunyi, tidak seperti biasanya. Semenjak bertolak tadi, tidak ada sebuah pun kereta yang melalui jalan tersebut.

    Gambar Freepik

    Menurut cerita orang dahulu,Pasir Putih memang berhantu, jadi Zul berusaha agar dia tidak memandang ke arah pasir-pasir putih yang menimbun dan banyak terdapat di kiri kanan jalan kerana dikhuatiri ternampak sesuatu yang menakutkan. Dalam hatinya dia tidak lepas membaca surah-surah al-Quran yang diingati.

    Sampai di salah satu kawasan perkuburan yang dipercayai tempat persemadian orang-orang Kristian, hati Zul mula rasa berdebar-debar. Jalan di kawasan tersebut agak gelap sedikit kerana banyak lampu jalannya yang rosak. Peluh dingin meluncur laju di wajahnya, padahal keretanya dipasang penghawa dingin. Hati Zul mula berkata-kata mungkin ada sesuatu yang buruk akan berlaku.

    Dengan tidak semena-mena Zul terlihat seorang lelaki yang agak tua, berbadan bongkok dan berkepala botak muncul dari semak samun di seberang jalan kubur tersebut. Zul memperlahankan keretanya untuk memberi laluan kepada lelaki tersebut. Mujurnya Zul tidak memandu laju kalau tidak nahaslah lelaki tua itu.

    Lelaki tua tersebut berjalan agak perlahan membuatkan Zul memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan kubur Kristian. Dengan diterangi lampu kereta, Zul dapat melihat dengan jelas lelaki tua itu memakai kameja berlengan panjang dan berseluar labuh berwarna putih kekuning-kuningan seperti terkena lumpur dan agak lusuh.

    Wajahnya tidak berapa kelihatan kerana lelaki tersebut berjalan agak tunduk disebabkan badannya yang agak bongkok. Beberapa ketika kemudian, barulah lelaki tua itu selamat melintasi kereta Zul. Dapatlah Zul meneruskan perjalanannya yang tergendala sebentar tadi.Namun sebelum menekan pedal minyaknya sempat jua Zul menoleh ke kiri untuk melihat lelaki tua misteri itu. Alangkah terperanjatnya Zul melihat lelaki tua itu tidak berkaki. Jalannya bagaikan melayang-layang di udara memasuki kawasan perkuburan itu.

    Lelaki tua itu juga sempat menolehkan mukanya melihat ke arah Zul.

    Ternyata lelaki tua itu tidak berwajah, mukanya rata tidak mempunyai lekuk walau sedikitpun. Tiba-tiba sahaja lelaki tua itu hilang di celah-celah kubur yang banyak tersusun di situ.

    Kini tahulah Zul lelaki itu bukanlah manusia biasa tetapi merupakan jin ataupun syaitan untuk menakutkan hati manusia yang lemah seperti dirinya, wallahuawaklam.

    Semenjak peristiwa yang dialaminya itu, Zul tidak berani lagi pulang ke rumah orang tuanya pada tengah malam walaupun dia habis syif pada malam itu. Zul hanya pulang pada keesokan harinya. Zul menanti hari pagi jika ingin pulang ke daerah masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda