LIVERPOOL, 2 DIS – Liverpool membuka jurang sembilan mata di puncak Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Manchester City 2-0 di Anfield kelmarin, sekali gus memperburuk krisis yang dihadapi oleh City.
Gol Cody Gakpo pada minit ke-12 menjadi ganjaran kecil atas dominasi separuh masa pertama Liverpool, sebelum Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti untuk mencatat kemenangan ke-18 mereka dalam 20 perlawanan di bawah kendalian Arne Slot.
Manchester City kini berada di tangga kelima, 11 mata di belakang pendahulu liga, dan gagal meraih kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir, termasuk enam kekalahan.
Arsenal dan Chelsea menjadi pencabar terdekat kepada Liverpool , manakala Manchester City kelihatan bakal kehilangan gelaran mereka sebagai juara Inggeris selepas memenangi empat gelaran berturut-turut yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Pep Guardiola diejek dengan sorakan ‘awda akan dipecat esok pagi’ pada penghujung perlawanan.
Pengurus City itu membalas dengan menunjukkan enam jari, merujuk kepada enam gelaran Liga Perdana Inggeris yang dimenanginya dalam tujuh musim terakhir.
Namun, Guardiola menegaskan bahawa beliau tidak hidup dalam kenangan masa lalu, sambil berusaha untuk memulihkan prestasi terburuk dalam karier pengurusannya.
“Bila awda menang, awda ketawa, bila mereka menang, mereka ketawa. Itu sebahagian daripada permainan,” kata Guardiola mengenai interaksinya dengan penyokong.
“Sekarang ia akan menjadi sangat sukar untuk mengulangi (memenangi gelaran) musim ini, tetapi seluruh kelab akan membuat refleksi bersama untuk cuba kembali lebih kuat,” tambah Guardiola.
Satu-satunya mata yang diperoleh City sejak 26 Oktober pun terasa seperti kekalahan apabila mereka mensia-siakan pendahuluan 3-0 dalam 15 minit terakhir dan terikat 3-3 dengan Feyenoord dalam Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu. – AFP