Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Mahasiswa didedah kepada program sivik

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Seramai 50 orang peserta telah menyertai Program Sivik Mahasiswa dan Mahasiswi Kali Pertama bagi Tahun 2022 anjuran oleh Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik baru-baru ini.

    Pelbagai program disediakan untuk mempersiapkan belia negara mengharungi cabaran masa depan sebagai generasi berwawasan, berkualiti, memiliki kemahiran yang tinggi serta mampu berdikari tanpa mengharap bantuan orang lain. Sehubungan itu, para peserta perkampungan sivik yang menyertai program tersebut diaturkan untuk membuat lawatan ke beberapa buah tempat bagi mengenali dan mempelajari lebih dekat produk-produk keluaran tempatan.

    Lawatan dimulakan ke Rumah Panjang Mendaram Besar, Daerah Belait yang disambut oleh Ketua Rumah Panjang Mendaram Besar, Berandi anak Jamau. Penghuni rumah panjang berkenaan aktif mengeluarkan produk kraf tangan.

    Penerangan tentang pemasaran dan promosi produk kraf tangan disampaikan oleh Penolong Pengerusi Rumah Panjang Mendaram Besar, Jantin anak Jamau yang mengongsikan sejarah asal usul Rumah Panjang Mendaram Besar.

    Peserta juga berpeluang melihat produk yang dihasilkan dan menyaksikan persembahan kebudayaan daripada penghuninya.

    Peserta program semasa me-ngadakan kunjungan ke Rumah Panjang Mendaram Besar.

    Para peserta kemudian membuat lawatan ke Syarikat Minyak Wangi Gaharu Angkasa iaitu sebuah syarikat anak tempatan yang menghasilkan produk-produk berasaskan gaharu.

    Tempat pemprosesan tersebut dilengkapi dengan ruang pameran dan jualan. Di samping itu, peserta juga berpeluang menyaksikan demonstrasi penghasilan produk-produk gaharu.

    Para peserta turut mendengar taklimat mengenai bermulanya pengeluaran produk minyak wangi dari gaharu yang terletak di Kampung Tanjong Maya Daerah Tutong yang disampaikan oleh Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Haji Mohd Nur Adli bin Haji Hanafi.

    Program Sivik juga diisi dengan taklimat daripada perintis produk Syarikat Wira Bina, Awang Yakup bin Haji Abdul Rahman mengenai produk minyak kelapa dara dan produk lain seperti sabun, balm, losen dan minyak urut keluaran syarikat berkenaan.

    Jabatan Penerangan berharap dengan adanya pendedahan seumpamanya, peserta akan berperanan dalam mendukung matlamat dan aspirasi jabatan dengan cara memberikan sumbangan positif dan melibatkan diri secara langsung sebagai seorang yang lebih intelektual, berfikiran matang dan menjadi model insan dalam menjalani kehidupan seharian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Ancaman bom palsu cetus panik di 100 sekolah India

    NEW DELHI, 1 MEI - Ancaman bom palsu telah mencetuskan panik di sekolah di ibu negara India pada pagi tadi dengan ibu bapa bergegas membawa...